[VIDEO] Laku macam goreng pisang panas, 3 jawatan dicanang boleh disandang KJ


  • Politik
  • Rabu, 21 Jun 2023

Khairy dilihat tidak mempunyai masalah untuk kekal popular dalam kalangan masyarakat melalui beberapa langkah bijak yang diambilnya di luar jalur politik kepartian.

SEJAK dipecat daripada Umno pada Januari lalu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih tidak memberikan sebarang ketetapan jelas mengenai masa depannya dalam politik negara.

Namun begitu, bekas Ketua Pemuda Umno itu dilihat tidak mempunyai masalah untuk kekal popular dalam kalangan masyarakat melalui beberapa langkah bijak yang diambilnya di luar jalur politik kepartian.

Selain memilih untuk bekerja sebagai pengacara radio mingguan di sebuah stesen berpengaruh, Khairy yang juga dikenali sebagai KJ, mempunyai program audio siar mingguan bertajuk 'Keluar Sekejap' bagi membincangkan sebarang isu semasa sama ada di luar mahupun di dalam negara.

Kedua-dua langkah itu ternyata mendapat respons yang agak baik daripada orang ramai sekali gus memberikan gambaran bahawa bekas Menteri Kesihatan itu sememangnya masih mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan rakyat.

KUALA LUMPUR, 12 Jan -- Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau Khairy Jamaluddin (tengah) ketika hadir bagi mendengar sesi perbahasan usul dari perwakilan-perwakilan wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Umno memecat KJ pada Januari lalu selepas beberapa tindakannya semasa Pilihan Raya Umum Ke-15.

Dalam pada itu, dari segi kecenderungannya dalam soal politik, Khairy dilihat lebih cenderung untuk berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini merupakan blok utama pembangkang di dalam negara.

Malah, beliau juga secara terbuka mengatakan akan mempertimbangkan tawaran daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai parti itu yang juga merupakan parti komponen utama PN.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan jelas diberikannya meskipun beliau dilaporkan sudah membuat pertemuan bersama Pengerusi PN itu pada minggu ini.

353413993_839015644246671_6222230995240858839_n

KJ (tiga dari kanan) ketika menyertai mesyuarat hala tuju ekonomi dipengerusikan Anwar pada 16 Jun lalu. — Facebook/AnwarIbrahim

Pada masa sama, kelibat KJ yang tampil dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu turut menimbulkan cakap-cakap bahawa khidmatnya kini turut diintai oleh pihak dalam kerajaan.

Mesyuarat berkaitan perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara itu disertai beberapa nama penting seperti Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Untuk rekod, Khairy sebelum ini pernah secara terbuka menawarkan dirinya untuk membantu pentadbiran Anwar bagi menetapkan arah tuju ekonomi Malaysia.

2134865

Khairy menyiarkan foto dirinya bersama Muhyiddin di laman Instagram peribadinya.

Dengan masa depan politik KJ kini dilihat terus menjadi tanda tanya, warganet turut tidak ketinggalan bagi memberikan jangkaan mereka terhadap senario boleh berlaku terhadap pemimpin itu khususnya daripada segi jawatan yang boleh dipegangnya.

"Sertai sahaja kerajaan sekarang (Anwar) KJ. Move on sebagai Senator. Majukan negara dengan bakat yang awak ada. All the best," tulis Raz Ahmad.

"Kalau masuk PKR (Parti Keadilan Rakyat), kemungkinan akan ganti Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul sebagai Menteri MITI (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Jo (Johari) pula Menteri Kewangan Menteri Kewangan 2," kata Khairul Affendi.

Dalam pada itu, kemungkinan penyertaan KJ bersama PN turut menimbulkan spekulasi bahawa beliau berpotensi untuk dikedepankan sebagai Menteri Besar di beberapa negeri yang cuba dirampas gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Selamat datang MB Negeri Sembilan," ujar tulis Irfan Bin Ahmad Lutfi.

"MB Selangor atau Negeri Sembilan," tulis Ahmad Mohamad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram