[VIDEO] KJ sedia bantu Anwar tetapkan hala tuju ekonomi negara


  • Politik
  • Khamis, 25 Mei 2023

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan kesediaannya untuk membantu memberikan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung usaha pembangunan dan ekonomi negara.

Beliau yang sebelum ini mengkritik Anwar kerana tidak mempunyai visi ekonomi yang jelas berkata demikian ketika ditanya mengenai kesudiannya membantu kerajaan sekiranya diberikan peluang.

"Ya (bantu Anwar), dan saya percaya Yang Amat Berhormat (Anwar) pun ada ramai penasihat yang boleh beri input terbaik supaya hala tuju ekonomi negara terutamanya lebih jelas, naratif ekonomi Malaysia lebih menarik untuk pelabur asing dan keyakinan masyarakat antarabangsa lebih meningkat terhadap Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri forum "Designing The Future-What is Next For Malaysia" anjuran Universiti UCSI di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Sementara itu, ketika bercakap pada forum berkenaan, beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan secara berseloroh mencadangkan agar dirinya menubuhkan sebuah parti politik baharu bersama rakannya, Ong Kian Ming yang juga bekas ahli Parlimen dari DAP.

“Saya bersetuju 100 peratus dengan Kian Ming dan mungkin kita patut tubuh parti politik bersama-sama.

"Ia kemudiannya akan menjadi tajuk utama media esok," katanya.

Sebelum itu, Kian Ming yang merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau tidak menganggap tindakan rakyat Malaysia meninggalkan negara ini sebagai satu fenomena "brain drain".

"Cabaran bagi kerajaan dan syarikat di Malaysia ialah bagaimana untuk memanfaatkan rangkaian mereka dan jika sesuai, bawa mereka kembali ke negara ini untuk menduduki jawatan strategik dalam sektor awam dan swasta," katanya.

Pada masa sama, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dilihat masih berteka-teki mengenai rancangannya terdekatnya dalam politik.

"Saya tidak akan jawab secara berterus-terang apa yang saya akan lakukan jika saya kembali.

“Saya belum memutuskan apa perlu dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika acara tersebut.

Menurut Khairy, beliau sedar selepas dipecat oleh Umno pada Januari lalu bahawa "politik tidak mampu menggambarkan diri saya".

Pada masa ini, bekas bekas Menteri Kesihatan itu berkata, beliau bercadang untuk menggalakkan anak muda Malaysia menjadi warganegara yang lebih baik.

"Apa yang saya mahu lakukan ialah mengingatkan anak muda tentang peranan mereka dan bagaimana cara untuk mereka mengambil bahagian bukan sahaja dari segi proses politik tetapi dari segi menjamin masa depan mampan," ujarnya.

Tambah beliau, matlamatnya melalui projek itu adalah untuk mendekati kumpulan anak muda berumur antara 15 dan 17 tahun supaya mereka menjadi warga Malaysia yang mempunyai kesedaran sivik dan bersifat penyayang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram