KEBELAKANGAN ini suasana bola sepak domestik dihidang dengan kemunculan beberapa pemain bola sepak cilik sehingga ramai mula membayangkan masa depan sukan nombor satu itu akan terjamin dengan kehadiran bakat-bakat baharu ubi muda berkenaan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah pemain dari Terengganu, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi susulan videonya melakukan hantaran serta mengawal bola dalam satu perlawanan tular di media sosial.
Selepas videonya menentang pemain lebih berusia itu tular, Akademi Johor Darul Takzim (JDT) juga dengan pantasnya menyambar pemain berusia 13 tahun tersebut sehingga membuat kelab seperti Terengganu FC (TFC) terlepas untuk merekrutnya, sekali gus membangkit kemarahan penyokong skuad Sang Penyu.
Muhammad Aqil sah menyertai Akademi JDT selepas videonya beraksi di padang tular. — Facebook/JDT
Pencarian bakat muda seperti Muhammad Aqil tidak hanya berlaku dalam akademi juara bertahan Liga Super itu sahaja, malah Selangor FC juga diam-diam dalam proses mencungkil bakat-bakat bintang cilik.
Seperti hantaran dikongsikan oleh laman penyokong bola sepak tempatan, Hot_Ice di laman Facebook, pasukan Gergasi Merah difahamkan menyambar khidmat ubi muda kelahiran Sabah yang dikenali sebagai adik Fady.
“Adik Fady kelahiran Sabah, berusia 11 tahun, bermain di posisi tengah (CM) central miedfield kini sah menyertai Akademi Selangor FC. Selamat maju jaya adik Fady,” kongsi laman Facebook itu.
Walaupun belum pasti bagaimana proses pengambilan pemain muda tersebut namun ramai warganet mengatakan ia berlaku ketika sesi pertama Program Elit B11 anjuran Selangor FC yang melibatkan 39 bakat dari sekitar Lembah Klang dan Putrajaya pada Sabtu lalu.
Tangkap layar hantaran dari Hot_Ice.
Penyertaan ubi muda tersebut bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tempatan dan ada juga yang mempersoalkan keputusannya ke Akademi Selangor sehingga membandingkan dengan Akademi JDT.
Malah penyokong beranggapan bakat muda itu mahu menjadikan Selangor sebagai batu loncatan sebelum berhijrah ke JDT.
“Mungkinlah, mungkin... adik ini masuk akademi Selangor dengan harapan satu hari nanti dapat masuk JDT... adik-adik yang masuk akademi JDT-lah yang rugi... belum tentu sangat dapat diserap masuk skuad utama... mungkin la.. mungkin,” tulis penyokong, Kufaz Hashim, antara yang memberikan komen mengenai perkara tersebut.
“Ikutlah mak ayah dia buat pilihan untuk anak dia, tak kan dengan JDT je, akademi bawah bawah itu ada tempat lagi. Jadi, jangan nak dipaksakan budak-budak muda ini pilih dekat situ juganya,” pandangan dari penyokong, Saiful Saizri.
Perbandingan tersebut berlaku berikutan Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.
Malah, Akademi JDT juga menjadi akademi bola sepak pertama di Malaysia dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkasakan program akar umbi bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram