[VIDEO] Gandingan 'double siuu' bolehkan Harimau Malaya benam Papua New Guinea


  • Podium
  • Selasa, 20 Jun 2023

Kemasukan Faisal (kiri) dan Arif memastikan jentera serangan skuad kebangsaan lebih tajam. — Facebook/FAM

SKUAD kebangsaan mencatatkan kemenangan terbesar di bawah kendalian Kim Pan-gon apabila berjaya membenam Papua New Guinea dengan keputusan 10-0.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Selasa, pasukan negara mendahului menerusi penalti daripada Safawi Rasid pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Namun, taring daripada skuad Harimau Malaya dipamerkan pada masa kedua perlawanan berikutan perubahan dari segi pemain daripada pihak kejurulatihan.

Kemasukan dua pemain sayap, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim yang menggantikan Safawi dan Akhyar Rashid menjadi formula buat Pan-gon membolosi gawang gol pihak pelawat.

Jaringan kedua dihasilkan menerusi pemain naturalisasi, Paulo Josue sebelum Arif menggegarkan pintu gol, yang mana ia merupakan gol keduanya dalam jersi pasukan negara.

Asakan demi asakan terus dilancarkan dengan Faisal Halim turut meraih jaringan peribadi pada minit ke-59 untuk memastikan keputusan semasa 4-0.

Bagaimanapun, momen lebih menarik berlaku selepas itu dengan pemain Selangor FC tersebut melakukan hantaran rendah yang kemudiannya disempurnakan Arif Aiman.

Selepas itu, tumpuan sekali lagi diberikan terhadap Paulo Josue apabila dia menyempurnakan hatrik dengan gol pada minit ke-64 dan ke-70.

Usaha tersebut tidak terhenti di situ dengan seorang lagi pemain gantian, Daniel Ting turut menggegarkan gawang Papua New Guinea.

Gol kesembilan dan ke-10 kemudiannya dijaringkan Arif Aiman yang mana ia juga merupakan hatrik pertamanya bersama skuad kebangsaan, sekali gus memastikan kemenangan buat Harimau Malaya.

Kegembiraan pastinya dirasai rata-rata penyokong skuad kebangsaan apabila mereka pada awalnya sedikit sangsi dengan gaya permainan anak-anak buah Kim Pan-gon.

Bagi mereka, kemasukan Arif Aiman serta Faisal Halim merupakan titik perubahan pertembungan tersebut yang mudah 'meratah' pasukan Asia Tenggara itu.

"Tahniah Arif kerana dapatkan hatrik. Safawi dan Akhyar kena belajar daripada dia dan juga Faisal Halim, bermain menggunakan akal," kata Matt Adil.

"Faisal Halim dan Arif Aiman, memang padu gandingan dua pemain ini. Semoga kekal prestasi mereka sehingga ke Piala Asia Qatar pada tahun hadapan," kata Amal Asyraf.

"Padu! Tadi nampak kedua-dua mereka lakukan keraian gol dengan gaya Faisal Halim. Gandingan 'double siuu' menjadi, harapnya terus berkekalan," kata Halim Ja'far.

Selepas ini, skuad kebangsaan difahamkan akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan pada September sebelum aksi Pesta Bola Merdeka diadakan pada Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram