TENAGA elektrik merupakan antara keperluan asas utama dalam kalangan rakyat Malaysia.
Disebabkan kepentingannya itu, kerajaan turut menyediakan subsidi bagi penggunaan elektrik di dalam negara.
Namun begitu, baru-baru ini, terdapat ramai warganet mengadukan di sosial media masing-masing berkenaan bil elektrik mereka yang didakwa melonjak agak tinggi dalam tempoh beberapa bulan lalu meskipun tahap penggunaannya adalah serupa berbanding tempoh sebelum ini.
"Ada sesiapa tahu macam mana pengiraan tarif elektrik? Penggunaan saya sama sahaja sejak setahun lalu (saya work from home sejak setahun lalu).
"Nak kata musim panas elektrik naik, musim panas dah bermula sejak beberapa bulan lalu. Tapi kenapa bulan lalu (Mei) kenaikan sangat mendadak?," soal pempengaruh sosial media yang juga seorang doktor, Khairul Hafidz di Twitternya pada Isnin.
Terdapat juga warganet mendakwa cuaca panas yang dialami negara pada sejak beberapa bulan belakangan ini menjadi antara faktor peningkatan bil elektrik dialami pengguna. — Gambar hiasan
Susulan daripada itu, terdapat beberapa pengguna lain turut berkongsikan kisah sama dialami terhadap kes tersebut termasuk dengan menunjukkan bukti kenaikan bil elektrik yang dihadapi.
"Nenek tinggal berdua dengan adik. Basuh baju pun jarang-jarang. Adik pula pergi kerja balik kerja. Tak selalu ada rumah. Paling kuat pun, pakai Coway Slim Water Purifier. Tapi itupun bukan setiap waktu ditadah. Biasa RM30, kadang RM24. Ni tiba-tiba RM54," tulis Asya Yousra.
"Daripada RM40 kepada RM60 dan kepada RM100 dengan sangat pantas. Kalau dari RM40 ke RM60 tu logik sebab baru on chiller. Yang bulan tiba-tiba RM100 tu kenapa? Tak on aircond pun," ujar nadiayusof__.
"Tiga tahun pengunaan yang macam-macam jenis barang elektrik pun baru RM40. Bulan ni punya jimat berhenti guna barang tertentu pun bil dah hampir RM80," kata __lypophrenia.
"Tak penah lagi cecah RM200 selama dua tahun ni," tulis natasha_amiera yang turut berkongsikan bil elektrik pada Jun yang lebih tinggi berbanding beberapa bulan lalu dan mencecah sehingga RM243.90.
Pada masa sama, terdapat juga warganet yang berpandangan bahawa kenaikan tersebut sememangnya dijangkakan kerana sejak beberapa bulan lalu, negara sedang mengalami cuaca yang agak panas.
"Musim panas memang peralatan seperti pendingin hawa dan peti sejuk akan guna tenaga lebih. Jadi walaupun penggunaan peralatan dari segi tempoh dan tetapan suhu sama, tetapi peralatan tersebut perlu bekerja lebih sebab suhu persekitaran yang lebih panas," ujar naimibrahim.
Nik Nazmi sebelum ini memaklumkan mekanisme baharu ICPT bagi tujuan pelaksanaan subsidi bersasar tarif elektrik dijangka diumumkan hujung tahun ini.
Untuk rekod, Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan syarikat tunggal yang menyediakan perkhidmatan bekalan elektrik di dalam negara.
Isu peningkatan harga bil elektrik yang ditimbulkan warganet ini berlaku di tengah-tengah tempoh ketika kerajaan kini sedang membuat persediaan bagi melaksanakan subsidi bersasar bagi penggunaan perkhidmatan tersebut.
Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 25 Mei lalu berkata, mekanisme baharu Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tujuan pelaksanaan subsidi bersasar tarif elektrik dijangka diumumkan hujung tahun ini.
Katanya, pengumuman itu akan dibuat selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram