SYARIKAT penyedia perkhidmatan logistik negara, Venthill Sdn Bhd (VH Group) berjaya mengukuhkan arah tuju operasinya di sebalik cabaran getir dihadapi pemain industri ekoran beberapa krisis berlaku di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Wong berkata, kemapanan kedudukan syarikat itu antara lain disokong keupayaannya menerapkan amalan mesra alam dengan standard yang tinggi pada hampir keseluruhan rantaian sistem operasinya.
Katanya, langkah itu amat membantu bagi memastikan syarikat itu terus beroperasi dengan lebih efisien dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan terhadap kos tidak perlu.
Menurut beliau, tahap pelaksanaan amalan mesra alam VH Group kini dianggarkan sudah mencapai hampir 90 peratus daripada keseluruhan sistem dan prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan disediakan syarikat.
“Jadi sejak tujuh tahun lalu, kami bekerja dengan sangat teliti bagaimana untuk menerapkan amalan ini dalam budaya kerja syarikat.
“Ia meliputi terhadap sekecil-kecil aspek seperti bahan yang digunakan bagi membungkus barangan yang menggunakan bahan kitar semula.
“Ini semua dilakukan tanpa menjejaskan keselamatan dan standard industri,” katanya kepada Majoriti.
Simon berharap agar beberapa krisis global sedang melanda dunia ketika ini dapat dipulihkan bagi membolehkan industri tersebut kembali berkembang. — CHAN TAK KONG/The Star
Simon berkata, antara amalan mesra alam lain turut dilaksanakan adalah mengurangkan syif bekerja, melakukan amalan bekerja dari rumah bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan penggunaan dokumen elektronik untuk menurunkan kebergantungan terhadap kertas.
Untuk operasi perkhidmatan logistik pula, beliau berkata, syarikatnya juga melakukan penjadualan dengan mengambil kira usaha mengurangkan pergerakan lori tanpa muatan di atas jalan raya selain melakukan penjimatan tenaga di kesemua tempat operasinya.
“Kesemua ini merupakan amalan yang sudah dilakukan sebelum ini (sebelum pandemik Covid-19) dan sekarang kita dah dapat lihat kesan positifnya.
“Kini kita boleh lihat produktiviti lebih tinggi dapat dihasilkan dengan kos lebih rendah,” ujarnya.
Mengulas mengenai fokus VH Group pada tahun ini, Simon berkata, pihaknya merancang meningkatkan lagi amalan mesra alam dijalankan kepada satu tahap lebih tinggi.
VH Group menerima Anugerah bagi kategori Jenama Terbaik ketika majlis The Top Asia Corporate Ball 2023, baru-baru ini. — VH Group
Selain itu, sebagai syarikat logistik yang beroperasi di peringkat domestik dan antarabangsa, beliau turut berharap agar beberapa krisis global sedang melanda dunia ketika ini dapat dipulihkan bagi membolehkan industri tersebut dapat kembali berkembang.
Menurut Simon, antara isu dimaksudkan adalah kelembapan pembukaan ekonomi China, jangkaan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat dan negara eropah serta perang Rusia-Ukraine yang masih terus berlaku.
Katanya, kejadian bencana alam berskala besar seperti yang berlaku di New Zealand dan Turkiye juga memberi cabaran besar terhadap pemain industri logistik ketika ini.
“Tapi ketika ini kesannya terhadap syarikat masih dapat kami tangani dan kita harap ekonomi akan bertambah baik khususnya ketika memasuki suku kedua tahun 2023,” katanya.
Simon memaklumkan VH Group kini turut mengembangkan perniagaan dalam industri pembuatan sarung tangan getah bermula pada tahun 2022. — CHAN TAK KONG/The Star
Dalam pada itu, Simon berkata, VH Group turut membuka pelaburan baharu dengan membeli pegangan dalam syarikat pembuatan sarung tangan negara, Glove Resources Sdn Bhd untuk mengembangkan perniagaannya.
“Disebabkan pandemik yang berlaku, kami melihat potensi yang dimiliki industri ini pada masa hadapan terutamanya dalam sektor utama seperti makanan dan pembuatan,” jelasnya.
VH Group yang sudah beroperasi selama 21 tahun merupakan syarikat penyedia pengangkutan import dan eksport negara yang menyediakan perkhidmatan logistik secara bersepadu.
Ia meliputi perkhidmatan pengangkutan udara dan laut, penyewaan kapal pukal, kontena dan gudang penyimpanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram