Selepas Hakim Hassan, Terengganu akan bawa seorang lagi bekas peledak dari Selangor?


  • Podium
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Nor Hakim tiba dengan harapan cukup tinggi daripada penyokong Terengganu FC. — Facebook/Terengganu FC

MEMASUKI jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, beberapa pasukan difahamkan sedang giat melakukan perancangan untuk menguatkan skuad masing-masing.

Antara yang sudah mengambil langkah awal ialah Terengganu FC apabila mereka mengumumkan kehadiran pemain sayap kebangsaan, Nor Hakim Hassan.

Langkah tersebut sememangnya cukup membanggakan buat rata-rata penyokong Sang Penyu memandangkan penyerang sayap berkenaan mempunyai kualiti untuk menguatkan jentera serangan pasukan.

Di samping itu, kehilangan pemain muda, Syafik Ismail juga meningkatkan lagi sorakan orang ramai akan kehadiran Nor Hakim, lebih-lebih lagi dengan mereka bakal berentap dalam Piala AFC selewat-lewatnya pada Ogos.

Jadi, kehadiran pemain berusia 31 tahun itu sememangnya dialu-alukan bagi menguatkan lagi jentera serangan kelab Pantai Timur tersebut.

Namun, baru-baru ini, sebuah lagi khabar angin mula bertiup kencang dengan mengatakan mereka bakal membawa masuk seorang lagi peledak berbisa.

350805069_553161407019410_2901871126744449747_n

Ifedayo pernah mencipta nama dalam dua musim bersama Selangor FC. Facebook/Selangor FC

Menerusi satu hantaran di akaun media sosial Terengganu 11, naib juara Piala FA 2022 itu dikhabarkan sedang cuba untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Melaka United, Ifedayo Olusegun.

Penyerang yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan itu pernah menggegarkan arena bola sepak tempatan apabila memenangi dua gelaran Kasut Emas berturut-turut ketika bersama Selangor FC.

Bagaimanapun, selepas dia juga merupakan antara yang terpalit dengan isu kewangan skuad Hang Tuah musim lalu, dia kini hanya berstatus 'free agent' selepas tiada mana-mana pasukan menawarkan kontrak terhadapnya.

Tetapi, situasi itu dijangka berubah selepas Terengganu FC seperti berminat untuk membawanya masuk bagi digandingkan dengan seorang lagi penyerang import, Jordan Mintah.

Kehadiran Ifedayo dalam skuad Sang Penyu juga dialu-alukan memandangkan pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner itu hanya menjaringkan 16 gol dalam 12 aksi Liga Super.

349164975_595186619380245_5637115908908945527_n

Gandingan Mintah-Ifedayo mampu menguatkan jentera serangan skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Kalau dia ni yang masuk, barulah menjadi Terengganu FC, dia cukup berbisa di hadapan pintu gol. Patutnya kena ambil dari awal musim lagi," kata Zawawi Mat Hassan.

"OK juga tu, kerana Ifedayo ni pernah berada dalam satu pasukan bersama Nor Hakim Hassan dan Sony Norde," kata Ahmad Mamat.

"Semasa dia ini masih dalam Selangor FC, kebanyakan golnya adalah berpunca daripada bantuan Nor Hakim," kata Wan Mijie Wan Mohd.

Selain pernah mewakili skuad Gergasi Merah dan Melaka United, Ifedayo juga pernah bersama-sama Felda United selama semusim, iaitu pada 2017.

Ketika ini, pemain antarabangsa Bahrain itu sudah menjaringkan 70 gol, yang meletakkannya di kedudukan kelima sepanjang zaman Liga Super di samping bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram