PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC terus terbang tinggi dalam Liga Super 2023 dengan mencetak sembilan rekod kemenangan sepanjang 14 perlawanan setakat ini.
Dengan prestasi yang semakin baik sepanjang liga, tidak hairanlah skuad Sang Kenari berjaya menduduki tangga ketiga dalam kejohanan domestik ini.
Menjelang pembukaan pemindahan jendela kedua pada Julai depan, KDA FC dilihat antara skuad yang kuat diperkatakan oleh peminat bola sepak tempatan dengan munculnya dakwaan ingin membawa masuk pemain baharu bagi menambah baik mutu permainan.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali dan Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain yang berbincang untuk membawa masuk dua atau tiga pemain baharu menjelang pemindahan jendela kedua tidak lama lagi.
Khamal ketika dihubungi Majoriti baru-baru turut mengesahkan pihaknya bakal memasuk kedua-dua pemain tempatan dan import bagi membantu pasukan Sang Kenari dalam pusingan kedua liga berkenaan.
Didorong oleh keterujaan berkenaan, para peminat bola sepak tempatan mula membuat ramalan Pak Nujum berkenaan pemain-pemain yang dipilih oleh Khamal bagi mengisi lompong dalam skuad Utara tanah air itu.
Antara nama yang dipetik ialah pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali; jentera kelab bola sepak Jordan iaitu Al-Hussein SC, Mahmoud Al-Mardi dan penyerang kedua Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad.
Mahmoud merupakan antara nama yang ditagih peminat Sang Kenari untuk kembali berkhidmat bersama skuad lamanya.
Kebetulan pula, ketiga-ketiga mereka ini merupakan bekas pemain Sang Kenari dan jika benarlah ramalan ini, ibaratnya seperti sireh pulang ke gagang.
Namun di sebalik keterujaan ramalan ini, ada beberapa peminat yang hanya mahukan Mahmoud untuk kembali memerah keringat bersama pasukan kesayangan mereka itu.
"Mahmoud itu okay lah, untuk lagi dua orang tu, pada pendapat peribadi, lebih baik cari anak muda yang berbakat dan semakin meningkat naik prestasi dalam padang," kata Mattkie Kicky.
"Mahmoud kalau mai Kedah memang powerlah Kedah ibarat sirih pulang ke gagang. Kehadiran Mahmoud memang sangat dialu-alukan," kata Zaidy Akhtar Ahmad.
Kepulangan Rizal bukannya tidak dialukan, cuma peminat berharap bakat muda dalam kelab berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Tidak cukup dengan itu, ada beberapa peminat yang tidak mahukan Rizal untuk kembali berbakti kepada kelab lamanya disebabkan didakwa mempunyai masalah di luar padang, selain kurang menyerlah untuk beraksi di posisi pertahanan Sang Kenari.
"Rizal sahaja aku tak setuju, tempat itu (pertahanan) dah ada Wan Amirul Afiq, Heshamudin Ahmad dan Kamil Akmal yang sedang meningkat naik sekarang ini.
"Kalau Rizal balik, kena peram pula bakat-bakat muda itu, flop pula mereka nanti," kata Apit Ya'acob.
Para peminat boleh terus membuat ramalan tentang pemain yang bakal dibawa masuk oleh Khamal menjelang pemindahan jendela kedua nanti.
Namun ia terpulang kepada keputusan yang bakal diambil terus menguatkan komponen pasukan dalam pusingan kedua Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram