[VIDEO] Saya terhutang budi dengan Baddrol — Alex


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Alex (tengah) mengakui dia mempunyai hubungan cukup baik bersama Baddrol Bakhtiar. — Facebook/Kedah FA

LEGASI bekas pemain tengah kebangsaan, Baddrol Bakhtiar bersama kelab lamanya, Kedah Darul Aman (KDA) FC sememangnya bukan sesuatu yang mudah dilupakan.

Selepas memulakan kariernya pada 2006 dengan status anak jati Sungai Petani, Kedah, pemain berkenaan terus meletakkan namanya sebagai antara watak penting pasukan berkenaan.

Dalam kira-kira 14 tahun dia berkhidmat bersama kelab Utara tanah air itu, beberapa siri kecemerlangan berjaya diraih, termasuk gelaran 'double treble' pada tahun 2007 dan 2008.

Status legenda Baddrol bersama pasukan tersebut juga pastinya sukar dipersoalkan memandangkan dia muncul sebagai antara watak utama kelab selepas dilantik sebagai kapten.

Baddrol-Bakhtiar-Kedah-JDT-Piala-Sumbangsih-2020

Baddrol meninggalkan satu legasi cukup penting buat skuad Sang Kenari. Facebook/Kedah FA

Namun, pada 2022, pemain yang kini sudah berusia 35 tahun itu memilih untuk mencari pengalaman baharu apabila kembali bekerjasama dengan Datuk Ong Kim Swee yang merupakan ketua jurulatih Sabah FC.

Kehilangannya cukup dirasai memandangkan skuad Sang Kenari sehingga kini tidak dapat melahirkan seseorang dengan ciri-ciri kepimpinan serta pengaruh seperti Baddrol.

Selain penyokong Hijau Kuning, kerinduan untuk melihat jeneral tengah berketinggian 1.74 meter (m) itu turut dirasakan pemain yang pernah menyarung jersi KDA FC.

Antara yang menyatakan perkara itu ialah bekas pemain sayap kebangsaan, Azammuddin Akil menerusi satu temu bual bersama pihak MFL baru-baru ini.

Menurutnya, hasratnya untuk menyertai skuad Sang Kenari pastinya sukar untuk direalisasikan sekiranya tiada pertolongan daripada Baddrol.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 12.51.12

Azamuddin meluangkan empat tahun bersama kelab Utara tanah air itu. Facebook/KDA FC

"Suasana ketika berada di Kedah ini sememangnya cukup berbeza sebab saya dengan Baddrol dengan Rizal (Ghazali) memang terlampau rapat.

"Saya pergi Kedah pun, Baddrol yang tolong saya kerana ketika itu, saya cedera dan saya minta jasa dia untuk buka pintu saya ke Kedah walaupun saya tidak ambil gaji enam bulan," katanya.

Azammuddin, atau juga lebih dikenali sebagai Alex menyertai KDA FC pada jendela perpindahan pertama Liga Super 2018 selepas dilanda isu kecederaan bersama Selangor FC.

Sepanjang berada bersama skuad Sang Kenari, pemain yang sudah berusia 38 tahun itu berjaya mencatatkan 40 penampilan dengan menjaringkan dua gol dan lima bantuan jaringan.

Menurutnya lagi, perpindahan Baddrol ke Sabah FC sedikit memberi kesan terhadap semangat dan moralnya di atas padang selain mengakui sunyi tanpa kelibatnya.

Pelbagai perkara dikongsikan Alex dalam sesi temu bual bersama MFL. Facebook/MFL

"Saya amat bertuah kepada Baddrol kerana dia boleh bantu saya selama empat tahun saya bersama Kedah. Sebab itu, saya terhutang budi dengan Baddrol Bakhtiar," katanya.

Selain pernah menyarung jersi KDA FC dan Selangor FC, Azammuddin lebih diingati ketika awal kariernya bersama Pahang FA dan Johor Darul Takzim (JDT).

Secara keseluruhan, pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu pernah membawa pulang pelbagai kejuaraan, termasuk tiga gelaran Piala Malaysia.

Kini, Alex difahamkan masih aktif dalam sukan bola sepak apabila difahamkan beraksi bersama kelab Liga M3, Kelana United selepas kontraknya bersama KDA FC ditamatkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram