Tiga sebab Sang Kenari, The Rhinos patut tawar gaji lumayan pada Miguel Cifuentes


  • Podium
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Cifu (kiri) menunjukkan aksi yang cemerlang sepanjang 12 aksi perlawanan TRW dalam Liga Super 2023. — Facebook/TRW

WALAUPUN baharu sahaja menyertai kancah Liga Malaysia (Liga M), pemain import Kelantan FC, Miguel Angel Garrido Cifuentes tidak menunggu lama menarik perhatian penyokong fanatik bola sepak negara kerana prestasi yang ditunjukkan dalam setiap perlawanan.

Tambahan pula, pemain berasal dari Sepanyol itu turut dianggap sebagai tonggak utama dalam skuad kendalian Frank Bernhardt ketika ini.

Manakan tidak, walaupun dianggap 'kuda tua' pada awal musim tetapi pemain berusia 32 tahun itu berjaya menepis kritikan penyokong dengan merekodkan empat gol dalam 12 dan satu hantaran jaringan dalam perlawanan Liga Super 2023.

1995478

Cifu mempunyai pengalaman dalam liga Sepanyol dengan menyertai beberapa pasukan besar di La Liga. —Instagram

Tetapi sayang seribu kali sayang, pemain yang lebih dikenali sebagai Cifu itu berkemungkinan akan menjadi salah seorang pemain yang akan meninggalkan The Red Warrior (TRW) pada menjelang perpindahan kedua.

Ini kerana kelab milik Norizam Turkiman atau dikenali sebagai Zamsaham itu didakwa mengalami masalah dalaman seperti pembayaran gaji.

Malah, media sebelum ini melaporkan Zamsaham akan membayar gaji penuh pemain-pemain TRW sekiranya pasukan Pantai Timur tersebut meraih kemenangan, namun jika melihat prestasi semasa kelab, berkemungkinan agak mustahil untuk mereka mencapai kemenangan.

Sehubungan itu, sekiranya ingin kekal bermain dalam Liga M, Cifu harus mengambil keputusan untuk mengintai tawaran daripada kelab lain bagi memastikan kariernya di sini tidak terkubur begitu sahaja.

Terkini, pemain import Kelantan itu dikaitkan dengan perpindahan ke Kedah Darul Aman FC kerana prestasi cemerlang yang ditampilkan.

Pada masa sama, khidmat pemain berusia 32 tahun itu turut ditagih oleh Sabah FC yang ingin memiliki pemain sayap itu dalam membantu jentera serangan skuad tersebut.

Majoriti menyenaraikan tiga sebab kelab Sang Badak dan Hijau Kuning bermain dalam pasukan mereka.

1. Pemain berpengalaman

2057413

Cifu ketika mewakili Malaga FC di Sepanyol. — Agensi

Cifu merupakan seorang pemain yang berpengalaman dan dia banyak menghabiskan karier bola sepaknya beraksi di Sepanyol termasuk La Liga iaitu antara liga yang popular di Eropah.

Selain itu, dia juga merupakan produk akademi bola sepak Elche dan pernah membantu Elche B menjuarai Liga Segunda (Divisyen 2 Sepanyol) pada musim 2012-13.

Beraksi di posisi pertahanan kanan, Cifu juga mempunyai pengalaman La Liga apabila menyertai Malaga CF selama lima tahun dan menjaringkan empat gol dalam 60 penampilan.

Kemudian, dia dipinjamkan ke kelab divisyen 2 Sepanyol sebelum kembali semula ke Elche pada musim 2020-2021.

Jika melihat kepada rekodnya sebelum ini, sudah pasti Cifu mampu membantu kedua-dua pasukan tersebut dalam menguatkan lagi jentera pasukan mereka.

2. Seorang pemain yang versatil

2090952

Cifu beraksi dengan cukup cemerlang baik dari segi serangan mahupun pertahanan. Facebook/TRW Kelantan FC

Cifu memiliki status yang cukup besar di Liga Sepanyol kerana mampu bermain dalam beberapa posisi.

Pemain berusia 32 tahun itu yang boleh beraksi di posisi sayap kanan, tengah menyerang dan pertahanan kanan nyata membuatkan ramai penyokong mengidamkan khidmatnya bagi memperbaiki pasukan masing-masing.

Bagi Sabah FC, pada ketika ini pasukan itu dikhabarkan akan melakukan rombakan pemain bagi digandingkan dengan penyerang mereka, Darren Lok dan sekiranya Cifu berhijrah ke sana, ia mungkin dapat mengisi kekosongan tersebut.

Bercerita mengenai skuad Sang Kenari pula, pasukan itu sememangnya memerlukan seorang lagi penyerang pada ketika ini memandangkan mereka terlalu bergantung kepada Willian Lira dan Jonathan Balotelli.

3. Karier Cifu lebih terjamin

2000753

TRW merupakan pasukan pertama Cifu di luar negara kelahirannya kerana sepanjang kariernya pemain ini banyak menghabiskan masa bermain bola sepak dalam Liga Sepanyol. —Facebook/TRW

Masalah dalaman yang membelenggu Kelantan ketika ini pasti mempengaruhi karier bola sepak Cifu di Liga M.

Justeru, ada baiknya dia berhijrah ke pasukan lain yang boleh menjanjikan peluang kerjaya lebih cerah dengan gaji yang stabil selain meraih minit permainan dalam perlawanan liga.

Kedah dan Sabah antara pasukan di Malaysia yang memiliki pengurusan kelab yang baik untuk pemain bola sepak profesional seperti Cifu.

Kelab Sang Kenari di bawah Tan Sri Dr Daud Bakar dilihat komited dalam membangunkan bola sepak di Kedah.

Pada masa sama, beliau juga berjaya membawa masuk syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bin Zayed International LLC sebagai penaja utama Sang Kenari pada musim 2023 ini.

Penajaan syarikat gergasi dari UAE itu mencetus revolusi baharu buat Hijau Kuning yang mahu memulakan era penswastaan dengan lebih berdaya maju dan kukuh.

Manakala, skuad Sang Badak di bawah kendalian Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Ahmad Marzuki Nasir pada ketika ini sememangnya berada di landasan yang betul dalam arena bola sepak.

Dia juga dikenali sebagai seorang yang berani mengambil risiko dalam menaikkan imej Sabah FC dan sanggup berbelanja besar demi kepentingan pasukan.

Untuk rekod, TRW merupakan pasukan pertama Cifu di luar negara kelahirannya kerana sepanjang kariernya pemain ini banyak menghabiskan masa bermain bola sepak dalam Liga Sepanyol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram