TONGGAK muda pemain kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena bola sepak tanah air dan antarabangsa.
Walaupun baru berusia 26 tahun, pemain itu sudah banyak menimba pengalaman dalam pertandingan domestik dan antarabangsa. Malah pada ketika ini, Quang Hai sudah mencatatkan 42 kaps bersama skuad kebangsaan Vietnam dan 10 jaringan gol.
Selain itu, namanya juga cukup terkenal dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan kerana ketika bertemu skuad kebangsaan, Quang Hai berjaya menjaringkan dua gol dan tiga assist (bantuan gol) dalam lima perlawanan menentang Malaysia sebelum ini.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.68 meter itu menyertai Pau FC di dalam Liga Divisyen Kedua Perancis dan berjaya menjaringkan satu gol dan 12 penampilan sejak tahun lalu.
Namun begitu, berdasarkan laman web transfermarkt, pemain berasal dari Hanoi itu sudah pun menamatkan kontraknya bersama kelab Pau FC dalam saingan Liga 2 setahun lebih awal dan akan kembali beraksi bersama skuad kebangsaannya.
Quang Hai dikhabarkan menamatkan kontraknya bersama kelab Pau FC dalam saingan Liga 2 setahun lebih awal. — Agensi
Pada masa sama, pemain versatil itu dikhabarkan berstatus sebagai ejen bebas sebelum kembali beraksi bersama pasukan tanah airnya.
Pernah meraih trofi peribadi sebagai Pemain Paling Bernilai Piala AFF 2018, tentunya ada dalam kalangan penyokong dan kelab yang cuba mengintai untuk mendapatkan khidmatnya menjelang jendela kedua perpindahan pada Julai nanti.
Antara pasukan dilihat memerlukan khidmat pemain muda ini ialah Sabah FC yang dilihat semakin merudum pada ketika ini.
Manakan tidak, selepas beberapa siri kekalahan dalam aksi Liga Super, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu memerlukan seorang lagi pemain versatil bagi menguatkan jentera tengahnya.
Quang Hai gemar melakukan rembatan dari luar kotak penalti. — Agensi
Sehubungan itu, kehadiran Quang Hai pastinya dapat memantapkan lagi pasukan tersebut jika digandingkan dengan pemain import baharu mereka Miguel Angel Garrido Cifuentes.
Hal ini kerana, kedua-dua pemain ini mempunyai kebolehan untuk bermain dalam pelbagai posisi. Pada masa sama, pemain itu juga boleh digandingkan bersama dengan pemain sayap The Rhinos, Saddil Ramdani untuk mendapatkan keserasian baru sekali gus mungkin boleh mengubah taktikal pasukan yang digunakan pada ketika ini.
Selain itu, dengan usia muda, Quang Hai boleh menjadi aset jangka masa panjang buat Sabah FC dan jika melihat rekodnya yang sudah lima kali menentang skuad kebangsaan, pastinya pemain itu sudah mengenali corak permainan barisan pemain tempatan kerana sudah biasa berjumpa pemain-pemain negara.
Berbekalkan usianya yang muda dan pengalaman luas dalam bola sepak, tidak rugi bagi pihak pengurusan Sabah FC mendapatkan khidmatnya.
Selain itu, Quang Hai pernah diberi gelaran Paulo Dybala Asia kerana kemahirannya yang mirip dengan pemain Argentina tersebut.
Quang Hai gemar melakukan rembatan dari luar kotak penalti serta memiliki skil menggelecek yang baik dan ini sekali gus memberi peluang pada Sabah untuk memperbaiki kelemahan yang ada sekiranya pemain itu menyertai skuad Sang Badak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram