Di sebalik kekalahan di MBPJ, sinaran RB3 bantu tutup rindu terhadap Rizal Ghazali


  • Podium
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Rawilson turun beraksi menentang The Cops yang menyaksikan pasukannya tewas dengan keputusan 0-1 di Stadium MBPJ Pada Khamis. — Facebook/SabahFC

IMPIAN Sabah FC untuk membawa pulang tiga mata penuh lebur apabila mereka tumbang 0-1 kepada PDRM FC dalam aksi perlawanan minggu ke-14 Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Khamis.

Lebih menghampakan lagi, salah seorang daripada pemain pertahanan Negeri di Bawah Bayu, Rizal Ghazali pula terpalit kontroversi didakwa mengasari teman wanitanya di sebuah hotel di Petaling Jaya sehari sebelum perlawanan itu bermula.

Hal itu menyebabkan bek kental The Rhinos itu 'hilang dari radar' dan tidak diturunkan dalam kesebelasan utama menentang The Cops pada perlawanan tersebut.

Ketiadaan Rizal Ghazali juga dikatakan sebagai punca kekalahan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang dilihat seperti hilang arah ketika berada di atas padang.

Namun begitu, di sebalik kekalahan tersebut, nama anak jati Sabah, Rawilson Batuil turut menjadi bualan penyokong.

352392759_933374937991811_2676777978421506615_n

Ketangkasan Rawilson mengemudi benteng pertahanan Sabah FC ketika menentang pasukan lain patut diberi pujian. — Facebook/SabahFC

Manakan tidak, walaupun jarang diturunkan sebagai kesebelasan utama, Rawilson ataupun turut dikenali sebagai RB3 menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika menentang PDRM FC.

Melihat kepada prestasinya itu , seorang penyokong, Moon Hatsune berharap agar pemain berusia 29 tahun itu perlu kerap diturunkan sebagai kesebelasan utama.

"Biarpun dapat kad kuning, saya tetap memuji semangat dan kerja keras pemain Sabah FC, Rawilson Batuil melawan PDRM FC.

"Nampak perubahan corak permainan Sabah FC apabila RB3 dimasukkan. Sepatutnya RB3 dalam kesebelasan utama," katanya.

Pendapat Hatsune itu turut dipersetujui oleh Rs Zaidi yang melihat kepada peningkatan anak kelahiran Kota Marudu tersebut.

"Rawilson sepatutnya bagi masuk kesebelasan utama dan corak pertahanan memang terbaik. Sekali dia masuk baru nampak corak permainan Sabah," katanya.

Untuk rekod, nama Rawilson sememangnya tidak asing dalam pasukan tersebut apabila menabur bakti dengan The Rhinos selepas berjaya meletakkan dirinya dalam skuad utama pada 2014.

Kesetiaan yang dipamerkan Rawilson sememangnya tidak boleh dipersoalkan apabila dia terus setia bersama kelab itu walaupun ketika itu mereka masih bermain di Liga Perdana.

Sehubungan itu, dia sememangnya layak diberikan peluang dalam kesebelasan utama pasukan. Selain itu, ketangkasan Rawilson mengemudi benteng pertahanan Sabah FC ketika menentang pasukan lain patut diberi pujian.

Dia juga dilihat agresif setiap kali diturunkan sekali gus memberi tekanan yang tinggi kepada pemain lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram