PENYERANG import Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B), Ebenezer Assifuah terus mengganas meledakkan gol bersama pasukan itu dalam saingan Piala MFL musim ini, sekali gus menjadi bualan penyokong Sang Kenari yang teruja dengan aksi bekas pemain remaja terbaik dunia itu.
Manakan tidak, pemain berasal dari Ghana itu sekali lagi memperkukuhkan kedudukan selaku penjaring terbanyak dalam Piala MFL selepas dia meledakkan hatrik ketika bertemu Sabah FC Bawah 23 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.
Setakat ini, pemain berusia 29 tahun itu sudah meledak 10 jaringan daripada lapan perlawanan yang diharungi.
Jika melihat kepada prestasinya itu, penyokong melihat penyerang berketinggian 1.76 meter mempunyai potensi yang cukup besar untuk diserap ke dalam skuad utama di bawah kendalian Nafuzi Zain dan digantikan dengan pemain import sedia ada, Willian Lira yang beraksi di Liga Super.
Namun begitu, ia tidaklah semudah disangkakan kerana ada beberapa situasi boleh membantutkan perancangan bekas pemain FC Sion itu untuk dinaikkan pangkat ke skuad Liga Super.
Berikut adalah empat sebab Nafuzi tidak perlu terburu-buru untuk naikkan pangkat Assufiah :
1. Baru pulih kecederaan ACL
Assufiah baru sahaja pulih daripada ACL dan berisiko untuk mengalami kecederaan yang sama pada masa depan. — Facebook/KDA FC
Umum mengetahui, Assufiah baru sahaja pulih daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang memaksa dia berehat panjang dan tidak beraksi sejak Mac tahun lalu.
Melihat kepada situasi ini, membawa masuk Assufiah ke skuad utama bukanlah satu cadangan yang menguntungkan pasukan kerana pemain itu berisiko untuk mengalami kecederaan yang sama pada masa depan.
Selain itu, dia dimasukkan ke liga utama, sudah pasti Assufiah terpaksa bekerja keras untuk bersaing dengan rakan pasukannya yang lain.
Adalah lebih baik, berikan masa buatnya untuk benar-benar cergas dan bebas kecederaan sebelum diserap ke skuad utama.
2. Prestasi Willian Lira semakin mantap
Lira dinobatkan sebagai pemain terbaik pasukan Kedah ketika menentang Selangor pada Rabu. — Facebook/KDA FC
Willian Lira kini menjadi perhatian selepas melihat corak permainannya yang semakin memberangsangkan perlawanan demi perlawanan.
Sepanjang 12 perlawanan setakat, pemain berumur 29 tahun itu sudah meledak tujuh gol dan dua bantuan gol.
Malah, bekas ketua jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah turut memuji persembahan pemain berasal dari Brazil yang dilihat semakin meningkat dan serasi dengan skuad utara itu.
Azraai berkata demikian selepas melihat kesungguhan Lira dalam membantu skuad Sang Kenari menjaringkan gol pada perlawanan Kedah menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Rabu lalu.
Walaupun skuad Hijau Kuning kalah 2-3 pada pasukan Gergasi Merah, namun prestasi yang ditunjukkan Lira turut menambat hati penyokong pada malam itu.
3. Tahap intensiti Liga Super berbeza
Assufiah tidak bersaing dengan pemain yang seangkatan dengannya di aksi perlawanan Piala MFL. — Facebook/KDA FC
Bukan mudah untuk mengekalkan intensiti pada setiap perlawanan apatah lagi aksi Liga Super mempunyai ramai pemain berpengalaman dari seluruh negara.
Selain itu, umum mengetahui Piala MFL ditubuhkan untuk beri ruang kepada bakat muda negara dan jika melihat kepada barisan pemain setiap kelab Piala MFL, Assufiah tidak bersaing dengan pemain yang seangkatan dengannya.
Dengan corak permainan Liga Super yang lebih keras dan fizikal, Assufiah pastinya tidak mahu dihantui semula dengan krisis kecederaan yang hampir menamatkan kariernya.
Jadi lebih baik Nafuzi memberinya sedikit masa lagi atau setidak-tidaknya menurunkan Assufiah pada perlawanan yang lawannya lebih mudah.
Sekiranya dia dinaikkan pangkat ke kelab utama serta-merta, pastinya timbul persoalan mampukah Assufiah mengekalkan momentum dan menjaringkan gol seperti sekarang?
Apatah lagi dengan tekanan berdepan ribuan penyokong yang membanjiri stadium. Pastinya Assufiah perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi intensiti Liga Super yang amat tinggi.
4. Perlu lebih fokus pada bahagian pertahanan berbanding serangan
Nafuzi memerlukan seorang pemain versatil yang mampu menggalas tugas sebagai penyerang dan menjadi seorang pemain pertahanan pada ketika ini. — Facebook/KDA FC
Berada di tangga ke lima carta Liga Super setakat ini, prestasi 'yo-yo' Sang Kenari umumnya ditundingkan kepada benteng pertahanannya yang rapuh.
Jadi buat masa ini, Nafuzi lebih memerlukan pemain pertahanan yang kental untuk digandingkan dengan Bojan Ciger atau Rodney Celvin.
Nafuzi juga boleh mencari pemain pertahanan tengah untuk membantu bahagian pertahanan dan serangan bagi mengimbangi skuadnya pada ketika ini.
Sebagai rekod, skuad Hijau Kuning itu sudah dibolosi sebanyak 18 kali dalam 12 perlawanan Liga Super, jumlah yang paling tinggi bagi kelompok tujuh pasukan teratas liga.
Pada masa sama, timbul juga persoalan tentang kemampuan Assufiah menggalas tugas tersebut dan adakah dia serasi digandingkan dengan Jonathan Balotelli yang kini dilihat selesa dengan Willian Lira dan Manuel Hidalgo kerana mereka boleh berkomunikasi dengan bahasa yang sama.
Pastinya, proses keserasian ini memakan masa dan Nafuzi juga dapat dihidu tidak mengambil risiko untuk menggugat persefahaman bahagian serangannya ketika ini.
Pada perlawanan Liga Super seterusnya, Kedah akan turun berdepan Sabah FC pada 2 Jun ini di Stadium Darul Aman, Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram