PEMAIN import, Emmanuel Oti Essigba sememangnya satu nama yang tidak perlu diperkenalkan dalam bola sepak tanah air sejak dia mula menyertai Melaka United FC (MUFC) musim lalu.
Bersama skuad Hang Tuah, pemain berketinggian 1.75 meter itu terbukti mempunyai kemampuan serangan berbisa. Jika melihat pada rekodnya setakat ini, setelah tampil dalam dalam 12 perlawanan termasuk saingan Piala FA, Oti berjaya merekodkan lima jaringan gol.
Walaupun begitu, pemain berasal dari Ghana itu dikhabarkan meninggalkan pasukannya yang kini beraksi di saingan Liga M3 lebih awal daripada perjanjian kontrak susulan tidak tahan dengan masalah gaji pasukan Melaka United pada musim lalu dan kini berstatus ejen bebas.
Sehubungan itu, menjelang jendela perpindahan kedua pada Julai nanti, kelebihan pemain ini pastinya akan memberikan bonus kepada kelab yang memerlukan khidmat Oti mempertajamkan jentera serangan.
Oleh itu, terdapat tiga pasukan yang pastinya memerlukan khidmat penyerang import itu sebagai penyudah dalam saingan Liga Super 2023:
1. Perak FC
Perak FC pada ketika dilihat masih tumpul dalam jentera serangannya. —Facebook/PerakFc
Jika melihat kepada usianya yang baharu saja berumur 26 tahun, Oti dilihat sebagai pilihan yang tepat untuk menyertai Sang Seladang untuk mendapatkan keserasian dalam kalangan pemain muda.
Kepantasan dan kecekapan pemain itu pasti diberikan perhatian dengan kemampuannya untuk menyerang ketika situasi serangan balas mampu membawa dimensi baharu buat The Bos Gaurus (TBG) yang agak tumpul dalam jentera serangannya.
Selain itu, ketua jurulatih sementara TBG, Yusri Che Lah pastinya ingin memberikan pembaharuan kepada pasukan tersebut untuk terus bersaing dalam Liga Super. Oti juga digeruni pasukan-pasukan Liga Super yang lain apabila dia dilihat mampu menambah baik jentera serangan menerusi kelicikan yang tersendiri.
2. Kelantan FC
Pemain import dari Sepanyol, Miguel Cifuentes mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan TRW dan menyertai Sabah. — Facebook/SabahFC
Melihat kepada situasi yang melanda pasukan The Red Warrior (TRW) pada ketika ini, sudah pastinya mereka memerlukan seorang pemain import yang versatil bagi memastikan mereka terus bersaing dalam Liga Super.
Manakan tidak, kelab milik Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham seperti hilang arah selepas kehilangan beberapa pemain import yang 'angkat kaki' meninggalkan kelab tersebut berikutan daripada isu masalah tunggakan gaji yang semakin meruncing.
Tambahan pula, keputusan pemain import dari Sepanyol, Miguel Cifuentes mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan TRW dan menyertai Sabah pada mengeruhkan lagi keadaan pasukan tersebut.
Berada di tangga tercorot Liga Super pada ketika ini, skuad kendalian Frank Bernhardt sudah semestinya memerlukan pemain seperti Oti yang mampu mengatur serangan yang tajam.
3. Terengganu FC
Gandingan Oti (kiri) dan Norde semestinya akan memberikan kelebihan kepada Terengganu. — Facebook/MelakaUnited
Gandingan Oti dan Sony Norde ketika berjuang bersama skuad MUFC pada musim lalu sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.
Kedua-dua import pemain itu dilihat mempamerkan work-rate, teknik gelecek dan penyudah yang agak baik setiap kali diturunkan bersama.
Pada masa sama, kedua-dua pemain itu sering melakukan larian-larian berbahaya yang boleh mengkucar-kacirkan pertahanan lawan selain bebas bergerak di pelbagai posisi.
Norde boleh bermain di posisi sayap kanan dan kiri manakala Oti pula mampu bertukar posisi dengan bermain di bek tengah.
Sehubungan itu, sekiranya pemain itu menyertai skuad Sang Penyu, sudah pasti ia kan memberi kelebihan kepada skuad kendalian Tomislav Steinbruckner nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram