Misi 'bounce' back berdepan skuad Jang, fans mahu pemain pinjaman JDT dan bintang HM direhatkan Tok Gajah


  • Podium
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Rowley (kiri) ketika beraksi menentang JDT pada 24 Mei lalu. — Facebook/SriPahangFC

SRI Pahang FC memulakan Liga Super 2023 dengan penuh bergaya melebihi jangkaan yang disandarkan kepada pasukan tersebut oleh pemerhati dan peminat bola sepak negara.

Skuad Tok Gajah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selama 11 perlawanan pertama liga, iaitu kedua terbaik berada di belakang gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) yang ketika ini memungut mata maksimum daripada kesemua 13 perlawanan diharungi.

Namun begitu, permulaan positif itu terhenti selepas Sri Pahang FC tewas di tangan skuad Harimau Selatan 0-2 pada perlawanan ke-12 Liga Super 2023 pada 24 Mei lalu.

Lebih memeritkan, skuad Tok Gajah dilihat tidak mampu kembali bangkit daripada kekalahan tersebut apabila turut merekodkan kekalahan di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-2 dalam perlawanan seterusnya.

Disebabkan pretasi buruk dalam dua perlawanan terakhir itu, pasukan Sri Pahang FC mula mendapat kritikan daripada penyokong mereka.

Antara yang mula dipersoalkan prestasinya adalah pemain pinjaman daripada JDT yang beraksi di posisi penjaga gol iaitu Izham Tarmizi.

2028540

Izham (kiri) ketika menentang Selangor FC pada perlawanan Piala FA pada 15 April lalu. — Facebook/SriPahangFC

Kritikan terhadapnya dilihat mula timbul sejak kekalahan besar skuad Tok Gajah 0-4 di tangan Selangor FC pada pusingan ke-16 Piala FA pada pertengahan April lalu.

Namun begitu, cakap-cakap mengenai prestasi Izham itu kembali timbul selepas dua kekalahan berturut-turut itu dengan ada yang meminta penjaga gol itu direhatkan bagi memberi peluang kepada penjaga gol nombor dua pasukan, Zarif Irfan.

Sementara itu, seorang lagi pemain turut mula mendapat kritikan daripada penyokong ekoran prestasinya adalah pemain berdarah campuran negara, David Rowley yang beraksi sebagai pemain tengah menyerang.

Persembahannya ketika menentang KL City FC disifatkan sebagai mengecewakan kerana dia dilihat gagal untuk membantu pasukan memberikan ancaman kepada kubu lawan.

9B19D74C-F7E6-492B-B760-0779C7E2E147

Rowley (kanan) ketika berlatih bersama skuad Harimau Malaya. — FAM

"Harap perlawanan seterusnya tak perlu turunkan David Rowley. Biar Kpah Sherman (penyerang) bergandingan dengan orang lain," tulis Fairus Bin Razali.

"Rowley nampak tidak ada fungsi. Gelecek tak boleh lepas, hantaran ke laut. Shielding bola pun tak boleh. Lepas hilang bola terus tidak ada idea," tulis Muhamad Zahir Fikri.

"Abang misai (nama panggilan David Rowley) biar rehat dulu..." ujar Abd Rahman Mazlan.

Dalam dua perlawanan terakhir ketika menentang JDT dan KL City FC, Rowley yang sudah dua musim bersama Tok Gajah diletakkan di luar posisi asalnya apabila beraksi sebagai penyerang di hadapan barisan serangan pasukan.

Untuk rekod, Rowley yang memiliki satu penampilan bersama skuad Harimau Malaya sememangnya pernah ditugaskan bermain sebagai penyerang pada musim lalu selain di posisi utamanya di bahagian tengah.

Dia diletakkan sebanyak dua kali sebagai pemain penyerang selain pemain tengah (13 kali) pada musim lalu.

Sri Pahang FC akan menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram