KEDAH Darul Aman (KDA) FC melakar kemenangan bermakna pada Rabu selepas menundukkan Sang Seladang dalam aksi Liga Super di laman sendiri dengan kemenangan 3-0.
Dua gol disumbangkan Amirbek Juraboev serta penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira sekali gus menyaksikan mereka kini berada di tangga ketiga liga dengan merekodkan 28 mata selepas permulaan musim yang sedikit perlahan.
Kejayaan itu juga sedikit sebanyak menyuntik keyakinan buat penyokong Hijau Kuning yang semakin percaya akan sentuhan pihak pengurusan, lebih-lebih lagi pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar.
Aksi pemain KDA FC ketika perlawanan menentang skuad The Bos Gaurus pada Rabu. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Meskipun Sang Kenari berjaya mendapatkan kemenangan yang selesa selepas bergelut sepanjang 90 minit permainan pada Rabu, terdapat peminat yang meluahkan kegusaran mereka melihat momentum dua pemain iaitu Fadzrul Danel dan Fayadh Zulkifli yang semakin membimbangkan.
Menjengah ke ruangan komen di Facebook Analisis Tangga Ayam pada Khamis, Azuan Omar berpendapat, prestasi kedua-kedua pemain itu dilihat semakin merosot.
"Aku risau tengok prestasi Fadzrul dengan Fayadh, down teruk sangat aksi mereka sekarang ni.
"Sampai tak nampak peningkatan langsung. Fadzrul main macam ala kadar saja, dengan slow dan lambat nak buat keputusan, game semalam banyak juga hilang bola kat dia," katanya.
"Lama dah perhati Fadzrul dari season lepas lagi tidak ada peningkatan langsung, kerap buat kesilapan selalu hilang bola, dah macam tiada hala tuju tengok dia main," ujar Adzril Adzir.
Sepanjang lapan perlawanan Liga Super, Fadzrul (kiri) hanya berjaya meledakkan satu gol lawan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Pada masa sama, sepanjang 14 perlawanan aksi Liga Super, Fayadh mula menunjukkan prestasi yang tidak konsisten.
Sebagai pemain yang berada di posisi serangan, pemain berketinggian 1.60 meter itu dilihat tumpul untuk menjaringkan sebarang gol, sekali gus menyebabkan penyokong mula mempertikaikan kebolehan anak jati Kedah itu dalam skuad utama.
Manakala Fadzrul hanya berjaya meledakkan satu gol sepanjang lapan perlawanan Liga Super.
Untuk rekod, KDA FC dijadualkan beraksi sekali lagi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 3 Julai depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram