PERLAWANAN Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Penang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah dalam Liga Super 2023 pada Rabu pastinya menjadi tumpuan buat para peminat kedua-dua kelab tersebut.
Mana tidaknya, pasukan Sang Kenari itu pernah dibaham Harimau Kumbang 3-4 semasa Piala FA pada Mac lalu menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 pada masa tambahan.
Walaupun KDA FC selesa berada di kedudukan ketiga tertinggi dalam carta Liga Super 2023, luka akibat kekalahan tersebut masih berdarah dan belum sembuh.
Bagaimanapun, peminat kelab hijau kuning itu yakin pasukan kesayangan mereka mampu membalas dendam dengan membawa pulang tiga mata dan benamkan Penang FC di laman sendiri dalam perlawanan tersebut.
"Insya-ALLAH skuad Sang Kenari boleh mengatasi dan terus fokus untuk perlawanan malam ini untuk membawa pulang tiga mata di Alor Setar.
"Berjuanglah sejiwa murni demi lencana di dada, saya sebgai penyokong setia dan anak jati Kedah sentiasa menyokong dari belakang," kata peminat setia KDA FC, Sirajul Adli Sirajul.
Pemain tengah KDA FC, Fadzrul Danel (kiri) semasa sesi latihan persediaan menentang Penang FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu. — Facebook/ KDA FC.
Walaupun ramai penyokong memberikan kata-kata semangat kepada mereka, ada segelintir peminat yang mengingatkan pemain-pemain KDA FC untuk memperbaiki corak permainan bagi melaksanakan misi balas dendam tersebut.
Antara nama pemain yang dipetik peminat ialah penyerang import KDA FC, Willian Lira dan pemain sayap kiri, Fayadh Zulkifli.
"Lira tu pakar sambar atau hantaran silang atau hantaran jauh untuk jaringkan gol, tapi 'cross dari wing' atau hantaran jauh dari tengah sekarang tak ada kualiti sangat.
"Cuba perbaiki hantaran silang dan jauh macam Baddrol Bakhtiar buat dulu," tegur John Zhen Li.
"Minit pertama perlawanan hingga minit ke-70 tu bagi Fayadh 'gelinte' (gelecek) puas puas tepi padang dulu," cadang Mohd Rabilshah Noor.
Pertemuan pada malam ini adalah penentu bagi KDA FC sama ada ia akan mengubat duka dengan membawa mata kemenangan kepada negeri Jelapang Padi itu atau menabur garam atas luka kekalahan lampau dan terus berputih mata.
Pasukan Penang FC pula perlu kekal fokus dan tidak terbawa-bawa dengan kenangan manis menewaskan skuad Sang Kenari itu sebelum ini supaya kedudukan dalam carta tidak terus menjunam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram