"PERTAHANAN Selangor FC perlu 'post mortem', aksi longlai pemain amat membimbangkan." Demikian luahan penyokong Gergasi Merah menerusi salah satu laman di Facebook baru-baru ini yang menggesa perubahan drastik dilakukan di benteng pertahanan pasukan itu.
Menjelang pertemuan pasukan Selangor dan Johor Darul Takzim (JDT) di pusingan separuh akhir Piala FA nanti, skuad Merah Kuning diminta merombak barisan pemain khususnya di posisi pertahanan yang dikatakan longlai dalam aksi terdahulu.
Dalam perlawanan di peringkat suku akhir sebelum ini, pemain pertahanan Selangor dilihat goyah ketika mengekang asakan selain turut mudah dibolosi penyerang Negeri Sembilan FC.
Meskipun berjaya menang dengan keputusan 3-1, namun persembahan anak-anak buah Tan Cheng Hoe semakin meragukan apabila bergelut untuk memperoleh kemenangan dalam perlawanan itu.
Justeru, rata-rata warganet menggesa agar bekas pengendali skuad kebangsaan itu melakukan perubahan dan menurunkan barisan pemain yang selayaknya pada pertemuan dengan pasukan Harimau Selatan nanti.
Selangor perlu menurunkan barisan pemain terkuat bagi memberikan tentangan sengit kepada pasukan JDT.
Kerap kali hilang kawalan dan tewas dalam perebutan bola di udara, peminat menggesa beberapa pemain di bangku simpanan diturunkan dalam perlawanan itu nanti.
Antara pemain yang meniti di bibir penyokong adalah Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran.
"Aku budak Negeri Sembilan, kenapa Selangor simpan Khuzaimi, bagi dia masuk untuk kemudi benteng pertahanan, dia bukannya cedera pun, harap lawan JDT nanti dia diturunkan," kata Muhammad Shukri Abadi.
"Ruventhiran dan Khuzaimi kasi peram buat apa, sayang kalau tak gunakan kebolehan dan pengalaman yang dia ada," kata Ashmar Hakim.
"Pertahanan longgar sangat senang dibolosi pasukan lawan, bagi la peluang pada Ruventhiran dan Khuzaimi pula apa salahnya," jelas Rusazha Azmi.
Kedua-dua pemain itu bukanlah nama yang asing dalam kancah bola sepak tanah air apabila mereka pernah disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya dan persembahan yang ditampilkan boleh dikatakan memuaskan dengan skil serta persefahaman dimiliki.
Khuzaimi antara tonggak utama skuad kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini. — Facebook/SelangorFC
Khuzaimi yang sebelum ini mendapat panggilan Harimau Malaya mengharungi perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong berjaya membuktikan dia antara pemain utama skuad negara ketika ini.
Beraksi di posisi pertahanan tengah, pemain kelahiran Melaka itu mudah membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan selain turut mempunyai kelajuan yang diperlukan di posisi tersebut.
Ruventhiran yang juga disebut sebagai pemain berpotensi untuk diturunkan, hanya mencatatkan empat penampilan bersama Selangor setakat ini. Maka, peluang serta kepercayaan lebih seharusnya diberikan kepada anak muda berusia 21 tahun itu agar bakatnya dapat dikembangkan lagi untuk tempoh masa panjang.
Dalam pada itu, posisi penjaga gawang juga dipetik sebagai salah satu punca persembahan Selangor merudum kebelakangan ini.
Sommerville pernah berkhidmat dengan skuad JDT II. — LinkedIn
Kerap menurunkan Khairul Azhan sebagai penjaga gawang utama dalam setiap perlawanan, penyokong mahukan pemain itu digantikan dengan Samuel Somerville yang juga bekas penjaga gol bagi skuad JDT II.
"Khairul Azhan pun dah banyak buat silap mudah sekarang, tak cekap macam dulu, lebih baik turunkan Samual Somerville tu, bagi dia peluang dan dia pun boleh tahan bagus sebenarnya," kata KhalidLatif.
"Penjaga gol sekarang pun agak merisaukan, bagi Sommerville main la tengok apa dia boleh sumbang pada pasukan, asyik Khairul Azhan je yang main tak berubah corak permainan," tambah Danial Fikri.
Justeru, Cheng Hoe diminta lebih kreatif serta bersifat terbuka dalam membuat pilihan pemain yang akan diturunkan di perlawanan separuh akhir Piala FA nanti dengan tentangan sengit skuad JDT pastinya bukan satu perkara yang boleh dipertikaikan lagi.
Ketiga-tiga pemain di atas diyakini mampu membawa perubahan pada permainan Selangor khususnya di benteng pertahanan dan sekali gus boleh mengatasi serangan pemain lincah seperti Arif Aiman, Bergson Da Silva dan ramai lagi di Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram