[VIDEO] Kereta sangkut tengah jalan, kediaman mula ditenggelami banjir di Meru


  • 112
  • Ahad, 04 Jun 2023

Tangkap layar insiden banjir berlaku di Klang Central Jalan Meru, Klang, Selangor pada Ahad.

HUJAN lebat melanda sejak awal pagi Klang, Selangor telah mengakibatkan situasi banjir di beberapa buah kawasan pada Ahad.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berlaku limpahan air di Klang Central Jalan Meru, Klang pada kedalaman 1.3 meter.

"Dilaporkan berlaku limpanan air di lokasi tersebut dan sebuah kereta jenis Perodua Aruz dipandu seorang wanita berusia 57 tahun telah tersekat di tempat kejadian.

"Pemandu wanita terbabit berjaya keluar dari kenderaannya dengan bantuan orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beberapa kediaman turut dinaiki air banjir dengan rakaman video tular di Facebook memaparkan keluhan penduduk yang terkesan di Kampung Kubu Gajah, Meru, Klang.

Laporan awal bomba menjelaskan terdapat seorang lelaki terperangkap dalam situasi banjir di kawasan berkenaan.

"Setibanya bomba di lokasi, seorang lelaki berusia 50 an terperangkap dalam banjir di kedalaman dua kaki. Keluarga mangsa memohon bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa dari rumahnya kerana mengalami masalah kesihatan.

"Mangsa telah dikeluarlan oleh keluarganya sebelum pihak bomba sampai," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram