Tiga mata milik Terengganu, tapi nama Hadi Fayyadh, Liridon jadi topik hangat


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Perak FC terus dikecewakan meskipun perubahan pihak kejurulatihan sudah dibuat. — Facebook/Perak FC

PERAK FC terus bergelut untuk membawa pulang mata dalam kancah Liga Super apabila tewas kepada Terengganu FC di laman sendiri pada Sabtu.

Kekalahan 0-3 yang direkodkan di Stadium Ipoh, Perak itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) kekal di tangga ke-11 selepas 13 perlawanan.

Kealpaan benteng pertahanan pada awal permainan menyaksikan pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn meletakkan Terengganu FC di hadapan.

Mereka kemudiannya melebarkan jurang menerusi jaringan cantik daripada pemain sayap lincah, Sony Norde pada minit ke-16 apabila rembatan derasnya menewaskan Bryan See di gawang lawan.

Perak FC bagaimanapun tidak mahu berputus asa dengan terus mengasak benteng pertahanan Sang Penyu, namun jaringan pemain gantian, Jordan Mintah memastikan kemenangan milik pasukan pelawat.

Kekecewaan tersebut pastinya cukup menggusarkan memandangkan Perak FC baru sahaja menggantikan ketua jurulatih dengan Datuk Lim Teong Kim digugurkan bagi memberi ruang buat Yusri Che Lah.

Namun, kealpaan barisan pertahanan TBG memudahkan jentera serangan Terengganu FC mengasak kubu mereka, sekali gus menyaksikan pasukan Utara tanah air itu mencatatkan kekalahan kesembilan musim ini.

351052560_645949550253550_2297951278023230853_n

Hadi Fayyadh (kiri) masih belum menjaringkan sebarang gol buat skuad TBG. Facebook/Perak FC

Bagaimanapun, rata-rata penyokong Perak FC berasakan ketumpulan penyerang, Hadi Fayyadh Abd Razak menyebabkan pasukan tersebut gagal membawa pulang sebarang mata di laman sendiri.

"Hadi Fayyadh tidak relevan, lepas ni harapnya pihak pengurusan cari seorang yang lebih bagus di barisan hadapan. Perak FC perlu bermain dengan lebih terbuka," kata Afiqdnh Saiful.

"Hadi Fayyadh kena laju dan fizikal pun perlu lebih keras, jangan terlalu lembik dan jarang berlari, memang susah nak dapatkan gol," kata Kamarun Nizam.

Sementara itu, penyokong Terengganu FC pula pasti lebih tertarik akan kemenangan berkenaan apabila mereka kini sudah berada di tangga keenam.

20 mata yang dikumpul setakat ini mencipta ruang kecil dengan pasukan di bawah mereka, iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC dengan mereka belum beraksi untuk minggu ke-13.

350980419_282151540919385_4503933593926179480_n

Gaya permainan Liridon terus mengecewakan penyokong Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Namun, di sebalik kemenangan keenam dalam Liga Super 2023 itu, masih terdapat beberapa perubahan dan penambahbaikan yang perlu ditekankan.

Antara perkara yang ditekankan mereka adalah mengenai kualiti permainan Liridon Krasniqi yang diturunkan dalam kesebelasan utama dalam pertembungan itu.

"Liridon ada dalam kesebelasan utama main cukup mengecewakan, baik berikan ruang tersebut untuk pemain tempatan," ujar Baharudin Mamat.

"Liridon seperti biasa, hanya berlari-lari anak di atas padang," kata Mii Izzat.

Selepas ini, Terengganu FC bakal menerima kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri pada Jumaat sementara skuad TBG bakal bertandang ke Stadium Darul Aman, Kedah untuk aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram