MUSIM ini menyaksikan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berada di kelompok lima terbaik Liga Super dengan merekodkan tujuh kemenangan, satu seri dan empat kekalahan dalam 12 perlawanan setakat ini.
Bagaimanapun, dalam 12 aksi yang dipamerkan, Ifwat Akmal Chek Kassim dilihat masih belum mendapat kepercayaan Ketua Jurulatih Hijau Kuning, Nafuzi Zain untuk bertindak mengawasi gawang pasukan daripada dibolosi.
Penurunan prestasi penjaga gol skuad KDA FC itu dapat dikesan pada dua musim lalu apabila dia dilihat mula jarang diturunkan dalam kesebelasan utama.
Untuk rekod, pada musim 2020/2021, dia hanya diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam tujuh perlawanan daripada 22 aksi Liga Super.
Manakala bagi musim 2021/2022, dia hanya diturunkan sebanyak 10 daripada 22 perlawanan.
Sedangkan sebelum kedatangan Kalamullah Al-Hafiz dan Fikri Che Soh, namanya sering menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak negeri Jelapang padi itu dan ketangkasannya ketika bersama Kedah tidak perlu dipertikaikan lagi.
Malah, pemain berketinggian 178 sentimeter itu juga pernah mendapat gelaran 'Man Of The Match' pada aksi final Piala FA 2019.
Ifwat (kiri) dinasihatkan untuk menurunkan berat badan ke tahap ideal bagi menghadapi cabaran musim 2023. — Facebook/ KDA FC
Namun begitu, ada penyokong fanatik sebelum ini yang berasakan fizikal Ifwat tidak lagi sesuai untuk menjadi penjaga gol utama KDA FC.
Hal ini kerana, faktor berat badan penjaga gawang berusia 27 tahun itu dilihat semakin meningkat selepas pulang daripada perlawanan pramusim di Turkiye.
Tidak kurang juga yang beranggapan pemain berkenaan perlu mengurangkan berat badan bagi membolehkan dia lebih mudah melompat untuk menangkap bola tinggi.
Walau bagaimanapun, menjelang perlawanan Liga Super menentang Sabah FC pada Jumaat ini, rata-rata penyokong mula meluahkan harapan agar pemain anak jati Alor Setar itu diturunkan ke padang untuk berdepan skuad The Rhinos.
KDA FC bakal menerima kunjungan Sabah FC dalam saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook/KDA FC
Menjengah di laman Facebook Kedah, salah seorang penyokong, Panglima Berantai menyifatkan anak keempat daripada tujuh beradik itu mempunyai kelebihan berbanding Kalamullah.
"Nampak dia (Ifwat) lebih cepat bertindak dan berani, selalu bila satu lawan satu dengan penyerang banyak dia selamatkan gawang daripada bolos. Walaupun badan tembam tapi dia ringan," katanya.
"Dulu kena kutuk, bila ketiadaan dia banyak gol bolos daripada keeper lain, barulah teringat dekat dia. Bagi aku, Ifwat adalah terbaik cuma dia injury terlalu lama," tulis Sham Isam.
"Keeper kurus ke, keeper berisi ke, yang penting jaga gawang tak bocor. Pengajaran buat yang suka body shaming," ujar John Zhen Li pula.
Untuk rekod, skuad Sang Kenari gagal meneruskan momentum selepas tewas tipis 3-2 kepada Selangor FC, dalam aksi ke-12 Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram