Laungan 'Ifwat in' mula bergema elak gawang Kedah dirobek


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Ifwat mulai menyarung jersi KDA FC pada 2016. — Facebook/KDAFC

SELEPAS mengalami keciciran mata pada aksi ketiga Liga Super 2023 menentang PDRM FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC bertekad untuk menebus kekecewaan dalam aksi bertandang ke laman Kelantan United FC (KUFC).

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin itu pastinya bakal menjadi perlawanan getir buat pasukan Hijau Kuning selepas kehilangan pengendali, Nafuzi Zain dan ketua pasukan, Manuel Ott.

Ketiadaan Nafuzi dan jentera tengah Kedah tersebut pada perlawanan keempat skuad Hijau Kuning itu adalah susulan penggantungan kad merah semasa aksi menentang The Cops pada Sabtu lalu.

Selain daripada kebimbangan akan berlakunya kesan kepada jentera tengah Sang Kenari, penyokong juga gusar jika Kalamullah Al-Hafiz diberikan kepercayaan lagi untuk menjaga gawang Kedah.

Setelah tiga perlawanan Liga Super dan satu aksi Piala FA, ramai penyokong mulai tidak berkenaan dengan aksi yang ditonjolkan penjaga gol kebangsaan itu dan rata-ratanya mahu kelab utara itu merehatkan sementara Kalamullah untuk menjaga gawang KDA FC.

WhatsApp Image 2023-03-13 at 13.32.20

Kalamullah lebih mendapat kepercayaan Nafuzi untuk menjadi penjaga gol utama KDA FC. — Facebook/KDAFC

Meskipun statistik penjaga gol berusia 27 tahun itu tidaklah seteruk yang dibayangkan namun penyokong berpendapat bahawa Kalamullah tidak mempunyai keyakinan untuk menafilkan gol lawan.

Setakat tiga perlawanan Liga Super, gawang bekas penjaga gol Petaling Jaya City FC itu hanya dibolosi sebanyak dua jaringan sahaja namun ia masih tidak memberi keyakinan penyokong terhadap kehebatannya.

Oleh itu, ramai penyokong Kedah mula berpaling arah dan berharap agar pihak kejurulatihan KDA FC menurunkan Ifwat Akmal dalam perlawanan menenatang pasukan di bawah kendalian Tomas Trucha itu.

"Penjaga gol Ifwat yakin sikit daripada Kalamullah," komen penyokong KDA FC, Kujie Mud.

"Janji bukan Kalamullah. Betul dia macam takut-takut sikit," tambah seorang lagi peminat Sang Kenari, Shazwan Fazriel.

Sebelum ini, Ifwat sering mendapat kecaman daripada penyokong kerana ada di antara mereka berpendapat fizikal anak jati Kedah itu tidak berapa sesuai untuk menjadi penjaga gol utama skuad Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram