MENTERI Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada Selasa memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan untuk mengambil jururawat dari luar negara bagi memenuhi keperluan hospital swasta yang mengalami masalah kekurangan jururawat.
Ia susulan hospital swasta dikatakan berdepan isu kekurangan jururawat yang serius walaupun menerima permintaan tinggi.
Ujarnya, kementerian juga akan turut mengadakan lebih banyak libat urus dengan sektor berkenaan bagi menyelesaikan isu berbangkit tersebut,.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr Kuljit berkata, pengambilan jururawat luar akan membolehkan mereka menampung lebih ramai pesakit sekali gus membantu kerajaan.
Berdasarkan tinjauan APHM pada November 2022, mereka memerlukan kira-kira 9,224 jururawat tambahan pada tahun ini hingga 2025.
Kenyataan Dr Zaliha bagaimanapun menimbulkan pelbagai reaksi dan tidak kurang juga yang mengecam kenyataan itu.
Menjengah ke laman Twitter, rata-rata menyatakan bahawa mereka kurang bersetuju dengan tindakan KKM untuk membawa masuk lebih ramai jururawat dari luar negara.
Dr Zaliha
Antaranya, ShafiqGahani yang menyifatkan langkah kementerian itu sebagai langkah ke belakang.
"Punya main banyak lepasan kolej kejururawatan, nak import dari luar juga? Malaysia siap eksport jururawat ke Asia Barat. Backwards thinking by current government," katanya pada Selasa.
Selain itu, salah seorang pengguna lain, MIA05223124 berkata, KKM seharusnya fokus dalam menjaga kebajikan doktor dan jururawat tempatan serta menyelesaikan isu berbangkit dalam kalangan mereka terlebih dahulu.
"Menyedihkan, jururawat berlambak. Doktor pun sama. Tapi mereka pilih berhenti sebab kontrak saja memanjang. Tidak ada lantikan tetap.
"Jaga dulu kebajikan mereka. Dah jadi orang besar, lupa agaknya orang bawah. Ingatkan bila doktor pegang kementerian, nasib terbela, rupanya..," tulisnya.
"Selain persoalan kenapa perlu import jururawat dari luar negara, saya curiga kenapa kementerian kerajaan perlu campur tangan dalam hal pegambilan pekerja oleh sektor swasta? Patutnya tumpukan perhatian kepada hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan," kata Mr East KHLim.
"Tak perlu import lah. Pertimbangkan kenaikan gaji dan bawa balik yang kerja di negara jiran. Lagu (Kaedah) ini bermanfaat untuk jangka panjang industri kesihatan," ujar KayTan70805621. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,