Kurang dapat sambutan, fans TFC harap ada perubahan penting menjelang separuh akhir Piala FA


  • Podium
  • Rabu, 31 Mei 2023

Cuaca panas menyebabkan penyokong turut merasai bahang seperti pemain yang beraksi dalam padang. — Facebook/Terengganu FC

KEJAYAAN Terengganu FC (TFC) menumbangkan Kelantan FC 4-2 di peringkat suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu pada Sabtu, menempah tiket mereka untuk ke peringkat separuh akhir.

Skuad Penyu itu bakal menyambut tetamu dari Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC pada 25 atau 26 Jun bagi perlawanan di peringkat separuh akhir piala berkenaan.

Untuk rekod, TFC berada dalam prestasi tidak menentu dalam Liga Super 2023 selepas merekodkan hanya dua kemenangan dalam lima perlawanan terakhir iaitu ketika bertemu Kuching City FC dan Penang FC.

Bagaimanapun, dengan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala FA, ia seperti mengubat kelukaan dalam hati penyokong Sang Penyu memandangkan mereka mempunyai harapan untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2011.

WhatsApp Image 2023-05-31 at 1.03.11 AM

TFC terpaksa beraksi pada waktu petang berdasarkan jadual yang dikeluarkan MFL sebelum ini. — Facebook/ Terengganu FC.

Walaupun pertemuan dengan skuad Warga Kota dijangka berpihak kelab Pantai Timur itu, kesemua pihak pastinya tidak mahu melepaskan peluang tersebut, sekali gus menjanjikan aksi lebih baik selepas ini.

Namun, bagi penyokong menerusi akaun Facebook Terengganu 11, terdapat harapan agar pertembungan separuh akhir itu dapat berlangsung pada waktu malam supaya tidak memberi tekanan ke atas kesemua pemain di atas padang.

"Harap separuh akhir (Piala FA) main malam! Nampak beza kehadiran penyokong, nak kata faktor masalah pasukan lawan macam tidak munasabah.

"Tahun lepas suku akhir lawan Kuching City hampir 21,000 orang datang tengok! Tahun ini siapa yang larat cuma 6,000 sahaja! Nak kata faktor prestasi pasukan Terengganu sendiri tidak munasabah, biasa lalang kalau ada perkataan 'akhir', mereka akan turun ke stadium," katanya.

Dalam dua perlawanan terakhir TFC, mereka terpaksa beraksi pada waktu petang iaitu ketika bertemu Penang FC dan Kelantan FC berikutan jadual yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Meskipun ia merupakan satu perubahan yang disambut baik oleh sesetengah pihak, cuaca di Malaysia ketika ini memberikan kesukaran kepada semua pemain untuk beraksi dalam 90 minit permainan.

Skuad Sang Penyu ketika ini sedang menduduki tangga ketujuh Liga Super musim ini dengan mereka berpeluang untuk menambah baik posisi itu dengan aksi menentang pasukan bergelut, Perak FC dalam aksi yang bakal berlangsung pada 3 Jun di Stadium Perak, Ipoh, Perak. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram