BERITA bekas ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang direhatkan daripada skuad tersebut pada Khamis lalu masih berlegar-legar dan menjadi bualan ramai terutamanya peminat-peminat bola sepak tempatan.
Walaupun pahit untuk ditelan, realitinya terdapat segelintir pihak mendakwa pengguguran beliau daripada pasukan tersebut adalah kerana prestasi pasukan yang semakin merudum.
Mana tidaknya, sejak beliau mengendalikan skuad The Bos Gaurus itu, Perak FC hanya memenangi dua perlawanan, tiga seri dan tujuh kekalahan dalam Liga Super musim ini.
Keputusan tersebut turut meletakkan skuad Seladang itu pada kedudukan bahaya di tangga ke-11 dalam liga tersebut.
Jadi bagi memastikan Perak FC bangkit semula daripada dihantui rekod buruk tersebut, tanggungjawab mengendalikan skuad berkenaan diserahkan kepada jurulatih Perak FC II, Yusri Che Lah buat sementara waktu.
Bukan satu nama asing dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan khususnya fans skuad The Bos Gaurus (TBG), Yusri atau dikenali sebagai YCL pernah membimbing skuad TBG ketika mereka berada dalam saingan Liga Perdana pada 2022.
Namun disebabkan berlakunya krisis dalam di peringkat pengurusan, pasukan tersebut hanya menamatkan saingan di tangga kesembilan dalam liga tersebut.
Dengan kembalinya pengendali kelab dari Perlis ini ke pangkuan skuad ini, terasa satu beban tanggungjawab diletakkan ke atas bahunya untuk membimbing pasukan tersebut kembali mengungguli Liga Super musim ini.
Yusri mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membimbing skuad TBG bangkit daripada kekalahan teruk dalam Liga Super 2023. — Facebook/ Perak Football Club.
Melihat kepada prestasi, TBG pada musim ini, pelbagai rancangan perlu diatur baik dari segi rutin latihan, taktikal, termasuk menaikkan moral para pemain.
Menerusi satu hantaran di Facebook TBG Super Fan, kelihatan Yusri menjadi imam solat kepada para pemainnya, dan ia menarik tumpuan para peminat skuad tersebut yang merasakan ia satu langkah baik untuk memupuk ukhuwah dalam kalangan mereka.
"Terima kasih bos rapatkan kembali saf dan ukhwah sesama player. Semoga player semua terus bersemangat yang selama ini down," kata Khairul Nizzamm.
"Terbaik, saya puji dengan sikap tuan, walaupun kelab kita ini prestasi entah apa-apa.
"Tapi, tuan sentiasa terbuka dgn peminat, selalu bercakap tentang pasukan di dalam laman sosial," kata Syam Al Kangsari.
Bukan itu setakat merapatkan saf dan ukhuwah sesama pemain, ada juga peminat TBG mencadangkan Yusri menjemput para motivasi untuk meningkatkan semangat dan moral skuad tersebut bagi mengubati kesedihan mereka.
"Terbaik head coach jadi imam. Harap ada sesi bersama pakar motivasi untuk naikkan lagi semangat pemain-pemain," puji Izhar Ridzuan.
Untuk rekod, jurulatih berusia 47 tahun itu pernah mengendalikan beberapa kelab bola sepak tempatan seperti Kelantan FC, Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,