Gandingan 2 'midfield' tempatan dicanang mampu perbaiki enjin tengah Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Amirul Hisyam (kiri) dan Akmal ketika beraksi bersama KDA FC pada musim ini. — Facebook/KDAFC

TEWAS 2-3 di tangan di Selangor FC dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor pada Rabu lepas bukanlah satu keputusan terlalu mengecewakan buat Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Ini kerana keupayaan skuad Sang Kenari untuk memberi saingan sengit di gelanggang pasukan lawan yang kini menduduki tempat kedua dalam carta Liga Super 2023 dianggap sesuatu yang positif oleh penyokong.

Malah, bekas pengendali legenda Kedah, Azraai Khor Abdullah turut menyifatkan persembahan tersebut sebagai antara yang terbaik ditampilkan oleh anak buah Nafuzi Zain itu pada musim ini.

Malah beliau berkata, banyak peningkatan dapat dilihat dari segi corak permainan mahupun kelainan yang ditonjolkan berbanding beberapa perlawanan sebelum ini.

Namun begitu, di sebalik perkembangan positif ditunjukkan, terdapat penyokong berpandangan gandingan tiga pemain utama di posisi tengah skuad Sang Kenari masih tidak memenuhi potensi diharapkan.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 11.20.08 PM

Prestasi trio tengah KDA FC yang diketuai Ott (kanan) disifatkan masih belum memuaskan hati penyokong Sang Kenari. — Facebook/KDAFC

Mereka yang dimaksudkan itu terdiri daripada kapten pasukan, Manuel Ott, Amirbek Juraboev dan Lee Tuck.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama trio ini dikritik oleh penyokong pasukan.

Malah kegagalan pasukan mencatat kemenangan apabila bertemu pasukan di kelompok teratas liga seperti Kuala Lumpur (KL) City FC, Sri Pahang FC dan Johor Darul Takzim juga sering dikaitkan dengan prestasi ketiga-tiga pemain tersebut.

Disebabkan itu, terdapat peminat setia Hijau Kuning yang berpendapat sudah tiba masanya untuk Nafuzi mencari alternatif bagi menyuntik elemen baharu di bahagian tengah yang juga disifatkan sebagai 'enjin' pasukan.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 11.19.48 PM1

Kamil (kanan) ketika beraksi bersama KDA FC pada musim ini. — Facebook/KDAFC

"Lee Tuck dengan permainan macam tu, masih dapat 90 minit setiap perlawanan. Manuel Ott pun start minit 70 sudah lembik. Yang rugi adalah Aiman, Al Hafiz atau Fazrul Danel.

"Kalau kita musim ni pertaruhkan Kamil Akmal (bek kanan dan pertahanan tengah), Heshamudin Ahmad (pertahanan) dan Amirul Hisyam Awang Kechik (tengah), musim depan kita ada pemain tempatan yang dah matang bahagian belakang (tengah dan pertahanan).

"Tapi kalau terus macam ni (gunakan gandingan tengah sedia ada), sampai bila pun kita tak dapat bentuk pemain mantap di bahagian depan," ujar John Zhen Li.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 11.19.48 PM

Amirul Hisyam menjadi antara nama disebut-sebut berpotensi untuk menjadi tonggak tengah utama KDA FC pada musim ini. — Facebook/KDAFC

Untuk rekod, Kamil yang berusia 24 tahun membuat penampilan dalam kesebelasan utama pasukan sebanyak tujuh kali dengan satu bantuan gol manakala Amirul Hisyam (28 tahun) pula tiga kali.

Dalam tujuh penampilannnya, Akmal lebih banyak ditampilkan di luar posisi utamanya apabila diletakkan sebagai pemain pertahanan kanan dalam tiga perlawanan dan sekali pemain sayap kanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram