Amarah Kim Swee berlarutan selepas Sabah FC hilang rekod kebal Stadium Likas


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Kim Swee percaya tersingkirnya Sabah FC daripada kempen Piala FA mungkin mempunyai hikmah tersendiri.  — Facebook/Sabah

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

“ANDA harus tak mahu jadi antara pemain Sabah daripada apa yang mereka terima dalam bilik persalinan ketika waktu rehat,” kata Datuk Ong Kim Swee sebagai membayangkan kemarahan meluap-luapnya apabila Sabah FC ketinggalan 1-2 kepada Kuala Lumpur City (KLC) FC dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad.

Malang buat mereka, kedudukan itu berkekalan hingga wisel penamat untuk pelawat menempah pertemuan separuh akhir menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu, 24 Jun nanti.

Keputusan itu turut memanjangkan rekod tanpa kemenangan skuad The Rhinos itu ketika berdepan KLC FC kepada 10 perlawanan sejak kejayaan terakhir mereka menundukkan lawan 1-0 di tempat sendiri pada 26 Jun 2015.

“Sudah tentu saya tahu mengenai rekod itu sebelum perlawanan hingga KLC sudah menjadi pasukan ‘badi’ buat kami.

“Tapi saya tidak mahu jadikan itu sebagai alasan kerana kami kalah atas kesilapan kami sendiri dan tak boleh salahkan orang lain atau perkara lain,” katanya kepada Laptop Cabuk.

“Masalahnya ialah selepas dapatkan gol pertama, kami berhenti bermain. Pemain-pemain saya hilang fokus dan berhenti melakukan gerakan-gerakan baik yang mereka laksanakan pada permulaan permainan.

“Saya langsung tak gembira dengan itu dan tak dapat membendung diri dalam bilik persalinan sewaktu rehat separuh masa. Saya bukan pun seorang jurulatih yang gemar marahkan pemain tapi kami hanya boleh salahkan diri sendiri,” tambahnya.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 19.36.09

Peres (kiri) menjaring gol pertama buat pasukan Sabah. — Facebook/Sabah

Pasukan tuan rumah memulakan perlawanan itu dengan langkah kanan apabila dihadiahkan sepakan penalti seawal minit kelima gara-gara pemain sayap, Jailton Da Silva, dijatuhkan kapten lawan, Paulo Josue.

Gabriel Peres – pemain pertahanan terbaharu Sabah FC yang mencatat nama dalam senarai penjaring – menyudahkan sepakan penalti itu menewaskan penjaga gol pilihan ketiga KLC FC, Azim Al Amin Kamaruddin, yang diturunkan buat kali pertama.

Namun, skuad Warga Kota itu kemudian dua kali menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, di gawang tuan rumah, mula-mula melalui Romel Morales pada minit ke-29 dan diikuti giliran T. Saravanan seminit sebelum rehat.

Ia turut memanjangkan rekod bolos Sabah, dengan satu-satunya perlawanan liga yang mereka tidak bolos ialah ketika menewaskan PDRM FC 4-0 pda 25 Februari lalu selain kemenangan 2-0 ke atas Kelantan United dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada 15 April.

Kim Swee mengakui daripada perlawanan liga menentang Terengganu FC yang berkesudahan 2-2 pada 19 Mei dan kemenangan 3-1 ke atas Perak FC, empat hari kemudian – kedua-duanya di Stadium Likas -- dia sudah dapat menghidu aksi tidak konsisten pemain-pemainnya.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 19.36.10

Sabah menang 3-1 ketika aksi menentang Perak FC. — Facebook/Sabah

“Saya betul-betul tidak faham mengapa keadaan ini berlaku. Mereka bukan tidak diingatkan agar ini tidak diulangi tapi ia berulang juga dan kami terus bolos, bukan dengan satu tapi dua gol kepada KLC.

“Saya lebih-lebih lagi kecewa kerana (selepas lapan perlawanan), kami kalah di tempat sendiri. Kasihan kepada penyokong yang terpaksa berpanas dan mengorbankan rehat hari Ahad mereka untuk disajikan dengan kekalahan ini,” katanya.

Berbanding keadaan bak ketuhar di bilik persalinan ketika rehat, tambah ketua jurulatih itu, suasananya dipenuhi wajah-wajah sugul yang menyedari mereka terhukum oleh lawan yang memang ‘pakar’ dalam saingan kalah mati seperti Piala FA ini.

“Saya telah ingatkan pemain-pemain saya sebelum sepak mula yang KLC adalah pasukan yang sangat bagus dalam saingan piala berdasarkan rekod kejayaan mereka, bukan saja dalam Piala FA, malah dalam Piala AFC (mereka tampil naib juara musim lalu).

“Mereka sangat pakar dalam aksi seperti ini dan keputusan menentang kami mengesahkan kebimbangan saya terhadap mereka.

“Di pihak Sabah FC, kekuatan kami ialah sebelum mendapatkan gol kerana sesudah itu, kami mudah hilang fokus.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 19.36.08

Antara aksi pemain The Rhinos menentang skuad Warga Kota pada Ahad. — Facebook/Sabah

“Malah, sebelum bolos dua gol kepada KLC, saya seakan-akan sudah dapat melihat apa yang akan berlaku. Anda boleh melihat melalui televisyen saya terpekik-pekik untuk mengingatkan pemain.

“Apa yang kami tunjukkan dalam separuh pertama dan kedua umpama perubahan 360 darjah. Apakan daya, saya tidak mampu berulang-ulang memberitahu pemain perkara yang sama setiap kali.

“Anda boleh lihat pemain-pemain saya berhabis-habisan dalam separuh masa kedua itu tapi di sinilah sekali lagi kepakaran KLC untuk menyimpan bola dan lebih banyak bertahan hingga akhirnya mematikan semangat pemain-pemain saya,” katanya lagi.

Bukan nak menutup kekalahan tapi Kim Swee percaya tersingkirnya mereka daripada kempen Piala FA mungkin mempunyai hikmah tersendiri, yang mengembalikan fokus mereka kepada saingan liga kerana apa yang menanti berikutnya ialah tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, PDRM FC dan Kelantan United.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 19.36.10-2

Sabah selepas ini akan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat. — Facebook/Sabah

“Apa pun, kami harus belajar daripada kesilapan kami dalam tiga perlwanan lalu. Tidak cukup dengan itu, kami perlu mencari penyelesaian terhadap masalah kami dan melakukan perubahan yang diperlukan.

“Ada kalanya suatu perubahan itu tidak berlaku dalam satu satu perlawanan tapi mendatangkan hasil dalam perlawanan berikutnya.

“Kami kalah kerana kesilapan yang berulang-ulang dan perlu hindarkannya selepas ini. Saya hanya berharap kami akan dapat meningkatkan keupayaan dan tampil sebagai pasukan yang berbeza selepas ini,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram