Kontrak tamat di Kuwait, Perak FC antara kelab Liga Super berebut khidmat bekas bintang buangan Kedah


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Al-Mardi memiliki sebanyak 25 penampilan bersama skuad kebangsaan Jordan. — Instagram/Al-Mardi

ARKITEK tengah pasukan kebangsaan Jordan, Mahmoud Al-Mardi kembali menjadi rebutan beberapa kelab Liga Super tanah air selepas khidmatnya tidak lagi diperlukan Qadsia SC.

Perpisahannya bersama kelab di Liga Kuwait itu disahkan sendiri oleh pemain berusia 29 tahun di laman media sosial peribadinya yang mana dia memuat naik ucapan penghargaan kepada Qadsia.

Jodoh bekas tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC itu dengan Qadsia hanya bertahan selama lima bulan apabila kontraknya tidak disambung oleh pasukan yang kini menduduki tempat keempat tersebut.

“Kontrak saya dengan kelab Al-Qadsiyah telah tamat. Saya berterima kasih kepada pengurusan kelab, pemain dan penonton. Saya berbesar hati untuk mewakili kelab ini dan saya mengucapkan selamat maju jaya pada hari-hari mendatang,” katanya.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 16.06.15

Tangkap layar hantaran dari Al-Mardi. — Instagram/Al-Mardi

Berita perpisahannya bersama pasukan Liga 1 Kuwait itu dalam diam memberi senyuman kepada penyokong tempatan yang merindukan sentuhannya dalam saingan tempatan selepas kali terakhir menyaksikan kelincahan Al-Mardi pada musim 2022.

Al-Mardi sebelum ini menyarung jersi Sang Kenari pada jendela perpindahan kedua 2023 membawa impak positif buat Kedah khususnya ketika pusingan kedua Liga Super dan kejohanan Piala AFC musim lepas.

Buktinya, Al-Mardi yang memiliki sebanyak 25 penampilan bersama skuad kebangsaan Jordan itu merekodkan sembilan jaringan daripada 19 perlawanan bersama KDA FC.

Walaupun cemerlang bersama Kedah, Al-Mardi gagal memberi keyakinan kepada pihak pengurusan dan digugurkan bersama empat lagi tonggak import iaitu Ronald Ngah Wanja, Dechi Marcel, Marc Vales dan Sanrawat Dechmitr pada hujung musim lalu.

WhatsApp Image 2023-05-29 at 16.06.24

Al-Mardi menabur bakti bersama Kedah selama tujuh bulan. — Instagram/Al-Mardi

Meskipun hanyalah berstatus sebagai bintang buangan Kedah namun rekod cemerlangnya itulah membuatkan beberapa kelab Liga Super berkejar-kejar untuk mendapatkan khidmat tonggak tengah berkenaan.

Antara pasukan Liga Super sedang berusaha memujuk bekas tonggak Al-Muharraq ialah Selangor FC dan perkara itu menggembirakan penyokong Gergasi Merah yang mana ingin trio Jordan bergabung dengan rakan senagara, Yazan Al-Arab dan Noor Al-Rawabdeh.

Selain Selangor, beberapa penyokong kelab Liga Super seperti Perak FC, Johor Darul Takzim (JDT), Sabah FC dan termasuk pasukan Sang Kenari juga mengambil kesempatan untuk memujul pasukan masing-masing merebut Al-Mardi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram