Jika mahu ubah nasib, 2 kelab perlu ikut jejak Kelantan FC terus aktif berbelanja pada Julai


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Kelantan FC yang berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super 2023 menjadi antara pasukan dilihat perlu melakukan pembelian penting pada pertengahan musim ini. — Facebook/TRWKelantanFC

JENDELA perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia (M) bakal dibuka semula pada Julai ini.

Waktu tersebut merupakan ruang terbaik boleh digunakan kelab yang bersaing ketika ini bagi memperbaiki prestasi skuad masing-masing.

Bagi sesetengah pasukan yang menampilkan prestasi positif, keperluan untuk membuat rombakan atau pembelian baharu itu tidak begitu mendesak.

Namun begitu, lain pula ceritanya bagi kelab yang dilihat bergelut untuk mempamerkan persembahan menyakinkan selepas tiga bulan liga berlangsung.

Keperluan itu bukan sahaja melibatkan pasukan bermasalah yang berada di kelompok terbawah, tetapi turut membabitkan kelab di kelompok teratas.

Berikut Majoriti senaraikan 3 kelab yang dijangka aktif pada musim perpindahan pertengahan musim kali ini:

1. Kelantan FC

1975211 (1)

De Murga (tengah) menjadi antara pemain terawal meninggalkan Kelantan FC pada musim ini. — Facebook/TRWKelantanFC

Berada di tangga kedua tercorot selepas mengharungi 12 perlawanan Liga Super 2023 bukanlah sesuatu yang berada di dalam minda penyokong The Red Warriors (TRW).

Ini kerana pasukan tersebut dilihat membuat persediaan yang agak rapi bagi menghadapi musim baharu selepas layak secara merit ke Liga Super pada musim ini termasuk dengan menandantangani sembilan pemain import pada musim ini.

Namun begitu, tidak sampai separuh musim, Kelantan FC dilihat berhadapan dengan beberapa perubahan besar antaranya pertukaran ketua jurulatih, Choi Moon-sik dan juga perpindahan keluar tiga pemain yang baharu direkrut.

Antara nama yang keluar ialah pemain import pertahanan tengah, Carli De Murga; penyerang, Shafiq Shaharudin dan pemain tengah, Christian Rontini.

Setakat ini, Kelantan dilihat menghadapi isu hampir di kesemua posisi khususnya di bahagian pertahanan yang menyaksikan pasukan itu mengumpul bolos terbanyak dengna 43 gol.

Pada masa sama, pemilik TRW, Norizam Tukiman juga dikhabarkan bakal membawa masuk beberapa pemain daripada pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim secara pinjaman.

Beberapa nama yang dikaitkan dengan Kelantan FC ialah Mohamadou Sumareh, Ramadhan Saifullah, Hazwan Bakri dan Adam Nor Azlin.

2. Perak FC

1798641

Shahrul (baju kuning) antara nama dikaitkan dengan kepulangan ke Perak FC. — Stadium Astro

Perak FC memasuki musim ini dengan skuad yang terdiri daripada pemain muda.

Di sebalik keyakinan ditunjukkan Datuk Lim Teong Kim terhadap pasukan dimilik, skuad Seladang ternyata bergelut untuk bersaing di Liga Super.

Pemain import yang ditandatangani dan diharapkan dapat menyuntik elemen pengalaman serta pengaruh kepada pasukan dilihat tidak mempamerkan prestasi seperti diharapkan.

Disebabkan itu, Perak FC dilihat perlu menandatangani beberapa pemain baharu terutamanya yang mempunyai pengalaman di Liga Super.

Antara dikaitkan kemungkinan perpindahan ke skuad Seladang ialah penjaga gawang dari JDT, Farizal Marlias dan pertahanan tengah berpengalaman yang juga bekas tonggak Perak FC, Shahrul Saad.

The Bos Gaurus (TBG) kini berada di tangga ke-11 daripada 14 pasukan apabila hanya sekadar memungut sembilan mata hasik dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan.

3. Terengganu FC

349526211_1203335321066196_8946985156821408766_n

TFC kini berada di kedudukan ketujuh carta liga. — Facebook/MFL

Terengganu FC memasuki musim baharu kali ini dengan jangkaan yang tinggi sebagai penyandang Naib Juara Liga Super musim lalu.

Namun begitu, tindakan pihak pengurusan merombak hampir kesemua pemain import pasukan pada musim lalu selepas menukar ketua jurulatih dengan menggantikan Nafuzi Zain ternyata memakan diri.

Ini kerana pasukan bukan sahaja bergelut untuk mencari keserasian malah dilihat tidak berupaya untuk bersaing dengan pasukan di kelompok teratas liga.

Terengganu FC kini berada di kedudukan ketujuh carta liga di belakang Kuala Lumpur City FC Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC, Sri Pahang FC dan Selangor FC.

Beberapa pemain import yang tidak memenuhi potensi diharapkan setakat awal musim ini ialah penyerang, Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn serta pemain tengah, Domagog Pusic.

Antara nama dikaitkan dengan skuad Sang Penyu ialah pemain sensasi negara, Safawi Rasid; bekas pemain sayap Selangor FC, Norhakim Hassan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram