Fans dakwa Perak FC, XOX jadi 'mangsa' misi peribadi Lim Teong Kim


  • Podium
  • Isnin, 29 Mei 2023

Teong Kim dikatakan gagal menyuntik aura dan pengalamannya dalam dunia bola sepak tempatan. — Facebook/Perak FC

BARU-BARU ini Perak FC mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih mereka, Datuk Lim Teong Kim.

Keputusan itu dibuat susulan prestasi mengecewakan yang dipamerkan skuad The Bos Gaurus (TBG) pada musim ini.

Sehubungan itu, Yusri Che Lah akan mengambil semula jawatan tersebut sebagai ketua jurulatih sementara.

Sepanjang musim ini, pasukan Utara tanah air itu kini berada di tangga ke-11 liga dengan merekodkan dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan dalam 12 perlawanan.

Dengan rekod kurang cemerlang tersebut, ramai penyokong mula menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kemerosotan prestasi skuad Seladang.

Persembahan pasukan itu dilihat terus merudum sekali gus mengundang kecaman dan kritikan dalam kalangan penyokong.

1

Aksi skuad Seladang ketika menentang Sabah FC di Stadium Likas, Sabah pada Selasa. — Facebook/Perak FC

Menjengah ke laman Facebook, terdapat pandangan daripada penyokong yang menyatakan bekas jurulatih pasukan remaja Bayern Munich itu mempunyai agenda tersendiri untuk membuktikan bahawa Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bukanlah satu kegagalan.

"Malangnya, ia memang tidak menjadi dan Perak FC serta XOX (Berhad) menjadi mangsa misi peribadi LTK.

"Pilihlah jurulatih baru yang bagus untuk bina semula pasukan. Irfan Bakti sebagai contoh," kata Zainul Fikri Zulkifli.

Dia turut berpendapat, Perak FC tidak perlu menambah pemain pada jendela perpindahan kedua nanti dan hanya mengekalkan skuad sedia ada.

Persembahan Perak FC dilihat terus merudum sekali gus mengundang kecaman penyokong. — Facebook/Perak FC

"Pada aku tak perlu dah tambah pemain sebab bila jurulatih yang kena buang digambarkan jurulatih yang salah. Jadi sekarang nak tengok jurulatih baru set up dengan pemain yang ada.

"Hadi Fayyadh tu, suruh jadi model jersi Perak sajalah. Meronda tak tentu hala kat atas padang tu.

"Pengurus atau jurulatih yang bagus amat penting untuk mengemudi pasukan dengan pemilihan pemain dan taktikal yang betul. Usia pemain bukan isunya, luar negara umur 17 tahun pun diberi peluang jika benar-benar bagus," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Teong Kim dilantik sebagai Pengarah AMD dari 2016 hingga 2020.

Majoriti sudah menghubungi Teong Kim untuk mengulas dakwaan tersebut tapi belum ada jawapan diberikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram