PERJALANAN Perak FC ke negeri di bawah bayu dengan jarak melebihi 1,668 kilomter tidak membuahkan hasil apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) pulang tanpa membawa satu mata dalam aksi Liga Super menentang Sabah FC pada Selasa.
Tewas 1-3 di tangan The Rhinos merupakan kekalahan kedua berturut-turut Perak FC selepas skuad Seladang dibelasah Selangor FC dengan jaringan 0-4 di Stadium Perak, Ipoh pada 20 Mei lalu
Darren Lok, Park Tae-su dan Baddrol Bakhtiar menjadi wira Sang Badak dalam misi mendapatkan kemenangan tersebut, manakala Perak FC hanya mampu berpuas hati dengan jaringan saguhati dari Harith Naem pada minit ke-83.
Merekodkan tujuh kekalahan termasuk empat daripadanya disaksikan oleh penyokong sendiri di stadium keramat skuad Seladang cukup merobek hati pemain ke-12 pasukan itu yang mana masih tertanya-tanya dimanakah silap bekas juara Piala Malaysia sebanyak lapan kali itu.
Pertukaran jurulatih pada musim lalu dengan melantik pengendali berpengalaman, Datuk Lim Teong Kim kelihatan masih gagal memberikan impak positif pada skuad Seladang susulan selepas 11 perlawanan Liga Super hanya mampu memberikan dua kemenangan.
Perak tewas 1-3 di tangan Sabah pada aksi di Stadium Likas itu. — Facebook/PerakFC
Laungan #trusttheprocess yang menjadi pegangan bekas jurulatih pasukan remaja Bayern Munich itu juga semakin tidak dipercayai penyokong susulan hanya kekecewaan dan tangisan menjadi 'hadiah' daripada pasukan kegemaran itu.
Oleh itu, tidak hairanlah jika penyokong Perak meletakkan kesalahan kepada Teong Kim sehingga ada antara mereka membuat dakwaan bahawa prestasi buruk Perak itu disebabkan air tangan pengendali itu.
Laman penyokong Perak FC, Brotherhood Of Silverstate mendakwa bahawa keharmonian bilik persalinan pasukan Seladang sudah mulai pudar apabila terdapat sesetengah pemain tidak menyukai cara Teong Kim menguruskan pasukan itu.
Menurutnya, Teong Kim menerapkan budaya pilih kasih sehingga ada pemain yang kurang menunjukkan kesungguhan untuk beraksi bersama pasukan itu.
"Kena tukar jurulatih dulu sebab ada pemain yang ada sekarang ini tidak suka dengan cara LTK. LTK ada anak emas dia dan yang bukan anak emas dia layan acuah tak acuh sahaja. Keharmonian dalam pasukan tidak ada sebab LTK sebab itu perkara pertama kena buat ialah buang LTK," dakwanya.
Bagaimanapun, perkara itu masih belum dibuktikan dengan ia hanya spekulasi yang dibuat penyokong susulan masih tertanya-tanya mengenai masalah prestasi membelenggu pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram