Arif Aiman antara pemain B-23 termahal Liga M, bintang muda no.4 ramai yang tak sangka masuk 'list'


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

Arif Aiman Hanapi kini prospek muda termahal Liga M. — Facebook/JDT

SABAN tahun, setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M) akan membelanjakan wang yang besar untuk mendapatkan pemain import bermutu tinggi dan berkualiti dalam kelab masing-masing.

Kesanggupan mengeluarkan belanja yang banyak itu pastinya pemilik kelab tersebut menginginkan pulangan lumayan seperti menjadi pasukan teratas liga dan menjulang piala yang dipertandingkan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, musim ini sahaja kemasukan beberapa pemain import berhasil mengubah nilai pasaran Liga M jika dibandingkan pada 2022.

Namun adakah anda tahu, selain import pemain-pemain muda negara juga antara penyumbang terbesar peningkatan nilai pasaran Liga M.

Lebih menakjubkan lagi pemain-pemain muda ini berusia bawah 23 tahun (B-23) sekali gus memberi gambaran Liga M berada di landasan yang tepat untuk meningkatkan nilai komersial liga.

Majoriti senaraikan empat pemain B-23 yang mempunyai nilai pasaran semasa yang tinggi:

349104218_1204525060258563_6265455766174622972_n

Arif Aiman (kiri) ketika diasak pemain Sri Pahang FC. Facebook/JDT

1. Arif Aiman Hanapi - €400k (RM 1.97 juta)

Bintang muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini menjadi pemain muda paling mahal di Malaysia.

Nilai pasaran Arif Aiman kini telah mencecah angka sejuta menyaksikan dia berada di kedudukan kedua dalam carta pemain Malaysia paling mahal.

Jika disemak di laman sesawang Transfermarkt setakat 25 Mei 2023, nilai Arif Aiman kini mencecah 400,000 Euro iaitu bersamaan RM 1.97 juta.

Konsistensi dalam setiap perlawanan yang ditampilkan pemain berusia 21 tahun ini pastinya menjadi sebab utama kenaikan nilai pasarannya.

Arif kini sedang menikmati musim indah bersama skuad JDT menerajui carta Liga Super 2023.

348874988_817036106657345_3739175324379388391_n

Mukhairi Ajmal (kanan) ketika perlawanan menentang Kedah pada Rabu. Facebook/Selangor FC

2. Mukhairi Ajmal - €225k (RM1.11 juta)

Bekas kapten skuad B-23, Mukhairi Ajmal menjadi pemain muda kedua termahal yang sedang beraksi dalam Liga Malaysia.

Pemain berusia 21 tahun ini mempunyai skil kawalan bola yang menarik serta rembatan deras jarak jauh yang mana sering memberikan jaringan buat pasukan Selangor FC.

Memulakan karier bersama PKNP FC, corak permainan Mukhairi berjaya menarik minat pihak pengurusan Selangor untuk membawanya ke dalam skuad Gergasi Merah pada 2020.

Baru berusia 21 tahun, Mukahiri diberi peranan penting dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila dilantik menjadi penolong kapten pasukan Selangor FC.

349332037_6655614647804417_8928673209272187088_n

Azam Azmi kini menjadi tonggak utama Terengganu FC. Facebook/Terengganu FC

3. Azam Azmi - €225k (RM1.11 juta)

Antara prospek utama skuad kebangsaan untuk menggantikan posisi Matthew Davies di masa akan datang.

Azam Azmi dianggap sebagai salah satu tonggak Terengganu FC yang cukup dikenali dengan kemampuan untuk melakukan terjahan bersih serta menyekat serangan pihak lawan.

Musim ini, Azam sekali lagi meneruskan prestasi membanggakannya apabila tampil dalam kesemua aksi Liga Super 2023.

Bersama skuad kebangsaan B-23, pemain berusia 22 tahun itu berjaya menghadiahkan Piala Merlion pada Mac 2023 yang mana mereka menewaskan Hong Kong di pentas final dengan keputusan 2-1.

348695970_198705816414930_8441589403151955919_n

Shahrul Nazeem antara pemain pertahanan muda terbaik dalam Liga Super. Facebook/Selangor FC

4. Shahrul Nazeem - €200k (RM989 ribu)

Siapa sangka, prospek pertahanan muda Selangor FC yang menjadi tumpuan penyokong sejak dua musim lalu, Shahrul Nazeem turut tersenarai antara pemain B-23 termahal di Liga Super.

Disebabkan aksi konsisten sepanjang musim lalu, Shahrul atau lebih dikenali sebagai 'Afro' berjaya menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan tonggak utama skuad kebangsaan dalam mengharungi kempen Piala AFF yang mana Harimau Malaya tewas di tangan Thailand di peringkat separuh akhir.

Kini, Shahrul menjadi pilihan utama Tan Cheng Hoe bergandingan dengan pemain import dari Jordan, Yazan Al-Arab untuk menjaga benteng pertahanan skuad Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram