Mampu ubah tempo perlawanan, Tomislav puji 2 bintang muda TFC


  • Podium
  • Khamis, 25 Mei 2023

PemainTFC, Muhammad Syafik Ismail diasak oleh pemain Penang FC, Muhamad Azmeer Aris Nor Rashid pada saingan Liga Super 2023 di SSMZA. — Bernama

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner tetap berpuas hati walaupun sekadar menang tipis 1-0 menentang Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu, Terengganu pada Rabu

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, apa yang lebih penting ialah skuad Penyu berjaya meraih tiga mata penuh untuk naik satu anak tangga ke kedudukan ketujuh carta Liga Super musim ini.

Beliau berkata, TFC yang mengawal permainan di kedua-dua babak perlawanan layak untuk menang dan pemain perlu berusaha lebih keras pada masa depan bagi mengekalkan momentum kemenangan.

"Kemenangan ini amat baik selepas dua perlawanan apabila kita kalah dan seri kepada Sabah FC," katanya selepas perlawanan menentang Penang FC.

Selain itu, Steinbruckner turut memuji prestasi pemain simpanan, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Engku Nur Shakir Engku Yaacob yang mengubah tempo perlawanan selepas diturunkan pada separuh masa kedua.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemain agar tidak cepat berpuas hati dan bersiap sedia untuk berdepan Kelantan FC pada pusingan suku akhir kalah mati Piala FA di SSMZA, Sabtu ini.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abg Wahid mengakui perbezaan kualiti pemain menjadi punca kekalahan skuad Harimau Kumbang di tangan Sang Penyu.

Namun pada masa sama, pengendali berusia 46 tahun itu memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya.

"Saya puas hati kerana pemain dah beri yang terbaik dan berjaya mengekang Terengganu daripada menjaringkan lebih banyak gol dengan deretan peluang yang ada.

"Kami mahu lupakan kekalahan ini dan tumpu kepada aksi Piala FA menentang gergasi bola sepak negara, Johor Darul Takzim (JDT), Ahad nanti," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram