JOHOR Darul Takzim (JDT) meleburkan rekod tanpa kalah Sri Pahang selepas menewaskan pasukan itu dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
Meskipun meraih tiga mata penuh, Harimau Selatan 'berpeluh' untuk menumbangkan skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad.
Rata-rata penyokong memuji pertahanan Sri Pahang yang berjaya menyekat kemaraan peledak-peledak berbahaya JDT antaranya Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi.
Bermain dengan taktikal 'parkir treler', Fandi menurunkan Azwan Aripin, Fadhli Shas, Nicholas Swirad dan Ashar Al Aafiz di benteng pertahanan Pahang.
Persembahan mereka wajar mendapat pujian kerana hanya bolos dua gol sepanjang tempoh 90 minit perlawanan, yang menyaksikan JDT tidak menang besar seperti kebiasaannya.
Fadhli cemerlang merantai pergerakan Forestieri. — Facebook/ Sri Pahang FC
Salah seorang pemain pertahanan Tok Gajah yang mencuri tumpuan ialah Azwan yang dirasakan berjaya merantai tonggak sayap lincah JDT, Arif Aiman.
Selain Azwan, Baqiuddin Shamsudin yang bermain di posisi tengah kanan juga mendapat pujian kerana dapat membaca gerak-geri Arif Aiman untuk menyekat serangannya.
Turut mendapat pujian tentulah bekas 'tanker' kental JDT, Fadhli yang bertindak sebagai sebagai kapten dan mengetuai barisan pertahanan Pahang.
Oleh sebab itu, fans berasakan kelab lain patut belajar dengan Sri Pahang cara bertahan secara baik untuk mengelakkan bolos kepada lawan hebat seperti JDT yang dahagakan kemenangan besar setiap kali perlawanan.
Selain Sri Pahang, PDRM FC juga memiliki disiplin bertahan yang sangat cemerlang apabila hanya membenarkan bolos satu gol dalam saingan Liga Super baru-baru ini.
Terengganu FC juga antara pasukan yang hanya bolos dua gol kepada JDT ketika aksi pembukaan Liga Super awal tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram