PEMAIN sayap Sabah FC, Amri Yahyah boleh diangkat sebagai salah seorang figura cukup berpengaruh buat kelab tersebut ketika ini.
Selain tampil sebagai pemain paling lama bertapak dalam arena bola sepak tanah air, dia juga mempunyai karakter cukup menghiburkan buat penyokong Sang Badak.
Insiden keraian gol selepas kemenangan pasukan Borneo itu ke atas Selangor FC pada penghujung April lalu pastinya segar dalam memori peminat setia kelab.
Di samping itu, sifat bersahajanya setiap kali beraksi cukup meningkatkan semangat pasukan berkenaan dengan mereka berada di landasan terbaik untuk layak ke Piala AFC musim depan.
Namun, dengan usianya sudah mencecah 42 tahun, khidmatnya semakin disisihkan memandangkan Sabah FC mempunyai Saddil Ramdani dan Jailton Paraiba untuk menyerang dari posisi sayap.
Selepas 11 perlawanan, bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC itu terpaksa berpuas hati dengan lapan penampilan Liga Super, yang mana kesemuanya hadir dari bangku simpanan.
Kekurangan minit permainan itu menyebabkan Amri gagal memberi sebarang sumbangan di hadapan pintu gol lawan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depannya bersama kelab.
Bagi segelintir besar penyokong setia Sabah FC, mereka mendesak agar pihak pengurusan memberikan peluang buatnya menceburi bidang kejurulatihan di kelab itu.
Tetapi, dengan pemain kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu dilihat masih bertenaga untuk berada di atas padang, hal berkenaan pastinya tidak berada dalam perancangannya ketika ini.
Persoalannya, jika dia terus diletakkan di bangku simpanan, mampukah dia dapat memastikan sentuhan di hadapan pintu golnya tidak terjejas?
Khidmat Amri kurang didambakan berdasarkan faktor usia dan kecergasan. — Facebook/Sabah FC
Oleh itu, bagi memastikan kesemua pihak tidak terkesan, pihak kejurulatihan skuad Sang Badak memilih untuk meletakkannya dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) yang kini beraksi dalam Piala MFL.
Hal itu pada awalnya dikongsikan menerusi poster perlawanan dengan Sabah FC B-23 menerima cabaran daripada Kelantan United FC B-23 yang juga sedang bergelut dalam kejohanan bawah umur itu.
Kehadiran Amri dikatakan sebagai tonik tambahan memandangkan pasukan Borneo itu tidak menunggu lama untuk mencetak kemenangan pertama mereka dalam Piala MFL dengan keputusan 4-1.
Lebih manis lagi, Amri juga tampil sebagai salah seorang penjaring pada masa tambahan penghujung perlawanan dengan Azhad Harraz, Sahrizan Saidin dan Ummareng Bachok juga menjaringkan gol.
Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong Sang Badak cukup menghargai kehadiran dan sumbangan pemain berkenaan yang sanggup mencurahkan keringat.
"Curahkan bakti kepada pemain muda, Wak Am. Otai terpaksa diturunkan untuk membantu pemain muda yang belum mencatatkan kemenangan," kata Mohd Rohdzan Yusof.
"Tahniah atas kemenangan pertama. Walaupun Wak Am bermain biasa-biasa sahaja, banyak hantaran yang dilakukannya memberi ruang kepada pemain muda untuk bergerak dengan lebih kerap sehingga boleh mencatatkan jaringan," kata Suhaimi Zuan Car.
"Tengoklah kalau ada pemain berpengalaman dalam pasukan belia, sekejap sahaja dia boleh mengubah nasib dan keadaan pasukan," kata Kasut Gatah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram