BERBAKI dua hari sebelum Kedah Darul Aman (KDA) FC menerima jemputan daripada Selangor FC untuk berentap dalam Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pertembungan skuad Sang Kenari dengan The Red Giants pastinya mendebarkan apabila masing-masing berada di tangga keempat dan kedua dalam carta liga tersebut.
Bagaimanapun, skuad Sang Kenari tetap perlu terbang tinggi untuk mengelak daripada dipijak The Red Giants dalam perlawanan pada Rabu itu.
Semestinya, pasukan KDA FC akan mempertaruhkan pemain kesebelasan utama yang hebat bagi menentang Selangor FC di gelanggang mereka.
Namun ada peminat-peminat skuad Sang Kenari itu asyik menyebut nama seorang pemain import dari Brazil, Jonathan Boareto dos Reis atau dikenali sebagai Jonathan Batolleni untuk beraksi dalam padang, bukan hanya memanaskan bangku simpanan sahaja.
Bukan yang biasa-biasa, jejaka tinggi lampai 1.85 meter itu setakat ini telah menyumbang empat gol buat pasukannya sepanjang 11 kali penampilannya di atas padang dalam Liga Super musim ini.
Walaupun begitu, para peminat Sang Kenari merasakan Balotelli perlu diserap dalam kesebelasan utama pasukan tersebut supaya bakatnya tidak disia-siakan.
Batolleni kini dalam pemerhatian Negeri Sembilan FC dan TRW yang mungkin berpotensi merampas pemain import ini daripada KDA FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC.
Bukan apa, ada ura-ura mengatakan bahawa pemain import itu sedang di bawah radar dua kelab bola sepak tempatan, iaitu Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC (TRW).
"Dengar kata (Balotelli) dalam radar Negeri Sembilan FC dengan Kelantan FC dah dia ini.
"Sayang kalau KDA lepaskan dia tengah musim nanti," kata Jac Kaha.
Walaupun Balotelli dilihat beraksi cemerlang di atas padang, rupanya kata Mokhzanie Zinal, pemain berkenaan dikatakan kurang menyengat jika bermain dalam kesebelasan utama kerana stamina yang rendah.
"Balotelli kalau masuk (padang) jarang menghampakan, super sub. Tengok pengulas (bola sepak) pun puji dia ini.
"Tapi dia tak boleh main first eleven sebab staminanya kurang, dia main super sub pun kira mantap dah selalu ada hasil," katanya.
Mungkin pihak pengurusan boleh pertimbangkan untuk masukkan Batolleni dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Selangor FC pada Rabu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram