SEKITAR bulan lalu, ejen berpangkalan di Korea Selatan, Leo Jeong berkongsi bahawa dia akan singgah ke tanah air untuk menonton perlawanan Liga Malaysia (Liga M) bagi mencari pemain yang sesuai di bawa ke Korea Selatan.
Jeong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency sudah bertahun-tahun berkecimpung sebagai ejen pemain dan cukup terkenal di Liga Thailand apabila dia menghantar seramai 200 pemain beraksi di negara Gajah Perang itu.
Di tanah air, Jeong mula dikenali apabila menjadi individu yang membongkar pekung pihak Kelantan FC yang mana dia mendakwa pengurusan kelab berkenaan gagal menjadi majikan baik kepada pengendali Choi Moon-sik.
Sebelum ke Malaysia, lelaki berkenaan juga dilihat bersama pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid sehingga menimbulkan spekulasi mengaitkan perpindahan pemain sayap itu beraksi ke Korea Selatan.
Dalam hantaran terbaharu Jeong di Insta Story miliknya, ejen tersebut berkongsi akan turun menonton perlawanan Perak FC menentang Selangor FC bagi mencari pemain berpotensi.
Berikut 3 pemain tumpuan yang berkemungkinan akan memikat hati Jeong sepanjang perlawanan 'El-Clasico Malaya' itu:
1) Hadi Fayyadh
Hadi mulai menyertai Perak FC pada awal tahun ini. — Facebook/PerakFC.
Penyerang muda, Hadi Fayyadh sebelum ini pernah mencipta sensasi apabila mendapat tawaran daripada Yakult (M) Sdn Bhd untuk menimba ilmu bersama sebuah kelab divisyen 2, Liga Jepun (Liga J).
Selama empat musim dalam Liga Jepun divisyen 3 (J3) bersama Fagiano Okayama dan dipinjamkan ke Azul Claro pada Februari 2022, penyerang berusia 23 tahun itu akhirnya kembali ke tanah air dengan menyertai Perak FC pada awal Januari ini.
Rekodnya yang pernah berkelana di Liga Jepun dan pernah menyertai Johor Darul Takzim (JDT), pasti sedikit sebanyak menarik hati Jeong untuk melihat persembahan pemain tinggi lampai itu.
Walaupun sehingga kini, Hadi masih buntu mencetak sebarang jaringan bersama Perak FC namun dia sedikit sebanyak menunjukkan perkembangannya dengan membuat dua hantaran bantuan pada musim ini.
2) Mukhairi Ajmal
Mukhairi diberi tanggungjawab untuk menjadi kapten pada perlawanan menentang Perak FC. — Facebook/MFL.
Kualiti yang dimiliki arkitek tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal membuatkan pemain muda itu sering mendapat tumpuan dalam saingan domestik mahupun bersama pasukan kebangsaan.
Baru-baru ini, pemain berusia 21 tahun itu mengetuai skuad Harimau Muda kendalian Elavarasan ke temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja dan meskipun gagal membawa Malaysia mara ke peringkat seterusnya namun gaya permainannya masih mendapat pujian.
Pada perlawanan menentang skaud The Bos Gaurus, Mukhairi pastinya menjadi pemain tumpuan Jeong kerana di usianya yang muda. Mukhairi mendapat kepercayaan pengendali Tan Cheng Hoe untuk menjadi ketua pasukan.
Posisi ketua pasukan selalunya diberi kepada Brendan Gan tetapi kali ini Mukhairi menggalas tanggungjawab tersebut walaupun usianya yang masih muda jika dibandingkan dengan pemain lain.
Dalam aksi berkenaan juga, pemain yang memiliki kualiti dalam hantaran jauh itu juga mencetak satu jaringan dan ia merupakan gol ketiganya untuk Gergasi Merah pada musim ini.
3) Faisal Halim
Faisal ketika meraihkan gol yang dicetaknya pada minit ke-46. — Facebook/MFL.
Pemain sayap sensasi, Faisal Halim pastinya akan menjadi antara tujuan utama Jeong menonton perlawanan berkenaan kerana tonggak kebangsaan itu sering menyinar ketika menyarung jersi kebangsaan.
Bukan hanya cemerlang bersama Harimau Malaya, Faisal membuktikan bahawa dia adalah pembelian berbaloi buat Gergasi Merah apabila sudah merekodkan lima jaringan gol dan empat lagi hantaran bantuan selepas tampil dalam 11 perlawanan.
Ketika aksi El Clasico Malaya tersebut juga, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menambah satu jaringan dalam akaun golnya dan sekali gus membantu Selangor FC menewaskan Perak FC 4-0 di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram