"Kau ada tanggungjawab kuatkan pasukan', legend bola sepak negara ingatkan Arif Aiman buat pilihan tepat


  • Politik
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Arif Aiman (kiri) membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023. — Instagram/ArifAiman

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini mengesahkan bahawa badan induk berkenaan akan memanggil tiga pemain muda yang kini sedang berkelana di luar negara untuk memperkukuhkan Bawah-22 (B-22).

Tiga ubi muda tersebut ialah Nooa Laine (SJK Akatemia) dan Luqman Hakim (UMF Njardvik) dan pemain warisan, Richard Chin yang kini sedang menunggu pasport sebelum membolehkan dia bermain dengan skuad kebangsaan.

Dengan kehadiran tiga pemain itu, diharap dapat memperkukuhkan lagi Harimau Muda bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B23 dan Kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Walaupun dengan beberapa wajah baharu, ada penyokong yang masih berharap agar tonggak Johor Darul Takzim (JDT) Arif Aiman Hanapi juga turut serta memberi kepakarannya untuk skuad B-22 tanah air nanti.

RICHARD

Richard bergambar bersama barisan kejurulatihan Harimau Malaya. — Twitter

Kehilangan pemain sayap itu dalam beberapa kejohanan yang disertai B-22 negara seperti temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini sering menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.

Arif Aiman banyak ditugaskan untuk beraksi bersama skuad senior walaupun dia masih berstatus sebagai pemain junior dan kehilangannya dalam Harimau Muda jelas memberi impak kepada pasukan di bawah kendalian E. Elavarasan.

Tidak hairanlah jika legend bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Abdul Ismail turut tampil memberikan pendapat peribadinya mengenai situasi yang melanda Arif Aiman sama ada perlu bersama skuad senior ataupun junior.

Jamal yang merupakan bekas pemain Pahang itu mengingatkan bahawa pemain berusia 21 tahun tersebut bertanggungjawab untuk kedua-dua pasukan negara walaupun kualitinya sudah setaraf dengan pemain senior.

“Bila kau masih junior, kau (Arif Aiman) bertanggungjawab untuk beraksi dengan pasukan junior bagi memperkuatkan pasukan.

“Melainkan ada percanggahan yang mana junior dan senior main serentak. Ketika itu, Arif Aiman kena ada pilihan. Jika tak main serentak, jadi tiada isu untuk beraksi kedua-duanya,” katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-05-20 at 16.13.03

Arif Aiman kekal menjadi tunjang utama bahagian serangan JDT. — Instagram/ArifAiman

Menyentuh soal tidak mendapat pelepasan kelab, Jamal berkata, ia adalah hak kelab tersebut untuk tidak melepaskan mereka kerana pemain adalah hak pasukan terutamanya jika tugas negara berkenaan berada di luar kalander Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Namun, dalam situasi Kelayakan Piala Asia B23, Jamal optimis bahawa setiap kelab di Liga Malaysia akan melepaskan pemain untuk berkhidmat kepada negara.

“Itulah perbezaan antara pemain profesional dan amatur. Bila dah pergi profesional, mereka akan dimiliki oleh kelab dan bukan FA (persatuan bola sepak).

“Jika dulu amatur, kelab FA tidak boleh halang bila pemain dipanggil ke skuad kebangsaan. Mereka kena lepaskan. Sekarang tak boleh terutamanya bila ia bukan dalam kalendar FIFA. Tapi kalau Piala Asia, mungkin akan dilepaskan kerana ia dalam kalendar FIFA,” tambahnya.

Terdahulu, kecoh apabila seramai 12 pemain yang sebahagian besarnya pemain JDT tidak dapat bersama pasukan negara untuk saingan Piala AFF 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram