PADA awal musim lalu, kebanyakan pihak tidak meletakkan Sri Pahang FC sebagai antara pasukan di kelompok lima teratas Liga Super apatah lagi sebagai pencabar kejuaraan.
Di samping tidak mengadakan sesi pramusim dengan sebaiknya, pasukan Pantai Timur tersebut juga dikatakan gagal membawa masuk pemain berkualiti sepanjang jendela perpindahan.
Namun, memasuki minggu ke-11 aksi liga, skuad Tok Gajah berada di prestasi terbaik yang mana mengejutkan ramai pihak, termasuk penyokong pasukan itu sendiri.
Mereka yang masih belum ditewaskan dalam saingan Liga Super kini berada di tangga ketiga selepas mengumpul 25 mata dengan tujuh kemenangan dicatatkan.
Tambahan pula, disiplin dalam kalangan pemain juga menyaksikan mereka tampil sebagai pasukan dengan rekod pertahanan kedua terbaik, hanya di belakang pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT).
Kemenangan ke atas Penang FC di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Sabtu pula membolehkan mereka mengumpul kemenangan kelima berturut-turut.
Sri Pahang mencatatkan kemenangan ketujuh selepas menundukkan Penang FC. — Facebook/Sri Pahang FC
Bagaimanapun, rekod serta prestasi cemerlang itu berada dalam bahaya apabila Sri Pahang FC bakal bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Rabu untuk bertemu skuad Harimau Selatan.
Kemenangan dalam kesemua perlawanan membuktikan bahawa JDT sememangnya sebuah pasukan yang cukup mantap, baik dari segi pertahanan mahupun serangan.
Selain itu, aksi di tempat lawan juga pasti menjadi ujian cukup besar buat skuad Tok Gajah meskipun mereka berjaya mengikat JDT dalam perlawanan yang sama musim lalu.
Jadi, tidak hairanlah apabila ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengatakan pasukannya akan memilih untuk mengambil pendekatan bertahan dalam pertembungan berkenaan.
"Lagipun kita akan pergi ke JDT. Kalau kita perlu letak treler kat depan gol pun kita akan letak," katanya kepada pemberita selepas aksi Liga Super menentang Penang FC.
Bagi sesetengah pihak, pendirian jurulatih berusia 60 tahun itu seperti membuktikan bahawa perlawanan tersebut akan berlangsung dengan kurang menarik.
Namun, dengan Sri Pahang merupakan satu-satunya pasukan yang belum tewas di samping JDT, sebilangan penyokong Tok Gajah tampil menyokong taktikal Fandi.
"OK lah tu, setakat ini, JDT dan Pahang sahaja yang belum kalah, kenapa anda semua tidak berpuas hati dengan Fandi?
"Tengoklah sahaja rekod mereka mengalahkan dan memalukan kesemua pasukan lain dalam Liga Super, tidak mungkin kamu akan suruh Sri Pahang mendongak langit ketika bertemu mereka?" soal Syafiq Aimans.
"Betul juga apa yang dikatakan Fandi tu, treler ni ada masanya dia boleh naik ke atas dan mengganggu penjaga gol JDT kerana kemungkinan mereka lebih mengharapkan pemain pertahanan," kata Azmi Mat Nasir.
Mourinho cukup terkenal dengan pendekatan bertahan dalam dunia bola sepak. — Agensi
"Jurulatih yang jujur kerana dia sedar ketika bertemu JDT, pasukan memerlukan kesebelasan utama yang sempurna tanpa cacat cela.
"Walaupun perlawanan akan jadi tidak menarik dan berat sebelah, itu nampaknya sebagai jalan terbaik. Tetapi, dalam bab parkir bas ni, kena belajar dengan (Jose) Mourinho terlebih dahulu," kata Daeng Yahya Daeng Haron.
Dalam dunia bola sepak, pengurus kelab Itali, AS Roma iaitu Jose Mourinho cukup terkenal dengan pendekatan bertahan setiap kali bertemu pasukan yang mampu memberi asakan bertali arus kepada gawang gol.
Taktikal tersebut dikatakan sebagai memarkir bas oleh penyokong bola sepak antarabangsa kerana pihak lawan akan kebuntuan idea untuk menjaringkan gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram