'Apa cerita ni?', CEO Perak aju soalan panas kepada pengurusan TRW


  • Podium
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Bobie memberitahu bahawa pihaknya sebelum ini menolak rayuan penangguhan tersebut. — Facebook/Perak FC

KEKALAHAN dalam saingan Liga Super seperti menjadi satu realiti pahit yang terpaksa ditelan penyokong Kelantan FC ketika ini.

Selepas 11 perlawanan, naib juara Liga Perdana 2022 itu sudah mengalami sembilan keputusan mengecewakan yang meletakkan mereka di tangga kedua tercorot.

Pada Jumaat, pasukan Pantai Timur itu sekali lagi mengalami nasib yang sama apabila tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat lawan.

Keputusan 0-5 yang dicatatkan semestinya cukup memalukan buat peminat setia skuad The Red Warriors (TRW), lebih-lebih lagi buat penonton di Stadium Darul Aman, Kedah.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong tegar Kelantan FC mula menyisihkan kelab itu memandangkan isu luar padang turut membelenggu mereka.

Tidak cukup dengan itu, segelintir daripada mereka juga tidak henti-henti melontarkan pandangan kurang senang terhadap pihak pengurusan kelab di media sosial.

Hal itu seperti digembar-gemburkan sekali lagi apabila giliran sebuah lagi kelab Liga Super menyatakan rasa kurang senang terhadap kelekaan pasukan berkenaan.

348241811_1312995936286418_519321327895700243_n

Poster perlawanan untuk aksi Piala Presiden antara Perak FC III dan Kelantan FC. Facebook/Perak FC

Ia berkaitan pengurusan pasukan belia Kelantan FC seolah-olah tidak bersedia untuk berdepan Perak FC III dalam saingan Piala Presiden.

"Hari ini (Sabtu) sepatutnya perlawanan berlangsung di antara TRW dan Perak FC III untuk Piala Presiden anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan menjadi syarat wajib Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mendapatkan lesen pertandingan Liga Super.

"Empat hari sebelum perlawanan, kami menerima surat untuk penangguhan perlawanan namun kami tidak dapat untuk menerima penangguhan tersebut disebabkan semua perjalanan pasukan dari Kuantan, Pahang sudah pun dibuat," tulis pengguna Facebook, TBG Super Fan.

Akaun tersebut difahamkan milik Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin memandangkan terdapat kemas kini yang kerap mengenai skuad The Bos Gaurus (TBG) di laman media sosial tersebut.

347864818_937703220799355_2335920575319049988_n

Perjumpaan yang dibuat di luar Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan. Facebook/TBG Super Fan

Tulisnya lagi, FAM turut menolak cadangan pihak lawan untuk menangguhkan perlawanan berkenaan kerana ia akan menjadi bebanan dari segi kewangan buat pasukan yang sudah mengadakan perjalanan ke venue pertembungan.

"Sepatutnya mesyuarat perlawanan diadakan hari ini (Sabtu) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada pukul 2.30 petang.

"Namun, sehingga kini masih tiada wakil daripada pegawai perlawanan yang hadir untuk kami tahu apa progres perlawanan hari ini. Ape cerita ni?" tulisnya lagi.

Dalam satu hantaran terbaru, pengguna Facebook tersebut turut menyatakan bahawa pertemuan sudah diadakan di luar stadium dan pihak Jawatankuasa Tatatertib akan berkongsi keputusan pada masa terdekat.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan dengan jelas mengenai pihak yang menghadiri perbincangan tersebut dan aksi Piala Presiden itu akhirnya tidak berlangsung pada waktu ditetapkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram