KEM Sri Pahang FC tetap ceria apabila masih utuh mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Sabtu.
Keputusan itu menyaksikan Tok Gajah melonjak ke tangga kedua dengan 25 mata apabila mengumpul tujuh kemenangan, empat seri selepas 11 perlawanan Liga Super.
Dalam perlawanan menentang Harimau Kumbang itu, kedua-dua pasukan bermula garang dengan misi untuk mendapatkan tiga mata dan banyak peluang dicipta oleh pasukan lawan mahupun Sri Pahang.
Walaupun perlawanan pada babak pertama corak permainan kedua-dua pasukan tampil berintensiti tinggi namun masih tidak berhasil menterjemahkan peluang dalam bentuk jaringan.
Empat minit selepas babak kedua berlangsung, kem tuan rumah diberikan sepakan penalti apabila penyerang import, Kpah Sherman diterjah ketua pasukan Penang FC, Rafael Vitor.
Antara aksi pemain ketika perlawanan di Darul Makmur pada Sabtu. — Facebook/Sripahang
Peluang keemasan itu sememangnya digunakan sebaik-baiknya oleh skuad Tok Gajah apabila sepakan deras dari Sherman menewaskan penjaga gol, Azfar Arif Sukri pada minit ke-48.
Gagal membawa pulang sebarang mata ke Batu Kawan, jelas mencetus kecewaan kepada penyokong Harimau Kumbang sehinggakan ada yang mempersoalkan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.
Selain itu, ada juga penyokong yang ‘naik angin’ dengan barisan pemain Penang FC yang dilihat gagal memanfaatkan sepakan percuma dengan baik.
“Patutnya bukan penalti kalau ada VAR (Video Bantuan Pengadil) tackle tidak kena tapi Kpah yang buat-buat diving,” komen penyokong Harimau Kumbang, Man.
“Freekick dapat banyak semua sepak ke bulan..adoi..satu peluang pun ambil tapi tidak gol,” kata penyokong Harimau Kumbang, Razman.
Perlawanan itu menyaksikan Penang FC menduduki tangga kesembilan dengan merekodkan 14 pungutan mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram