'Buang yang tak perform,' fans minta pertimbang nasib tonggak import Tok Gajah berdepan Penang FC


  • Podium
  • Sabtu, 20 Mei 2023

Brundo digantung daripada bermain menjelang aksi menentang Penang FC pada Sabtu kerana mendapat tiga kad kuning sepanjang Liga Super musim ini. —Facebook/ Sri Pahang FC.

SELEPAS tiga minggu berehat, pasukan Sri Pahang FC akhirnya akan kembali beraksi dalam Liga Super 2023 menentang Penang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Pertembungan antara skuad Tok Gajah dengan Harimau Bintang itu pastinya boleh mendebarkan, lebih-lebih lagi setakat ini pasukan dari Pantai Timur itu masih mengekal rekod tanpa kalah dalam semua 10 perlawanan setakat ini.

Jadi, pasukan Penang FC pastinya berdepan cabaran sukar untuk menumbangkan pihak lawannya di laman mereka memandangkan masih berada di kedudukan kelapan dalam carta Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, Sri Pahang FC tiba-tiba tidak menyenaraikan dua pemain utama mereka iaitu Nor Azam Azih dan Stefano Brundo, masing-masing atas faktor kecederaan dan penggantungan.

Khabar berita tersebut bertiup kencang dalam kalangan peminat skuad Tok Gajah itu, lebih-lebih Brundo yang juga pemain tengah bertahan pasukannya.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad memaklumkan penggantungan pemain kelahiran Argentina itu dibuat susulan menerima sebanyak tiga kad kuning sepanjang Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, peminat jejaka tinggi lampai 1.9 meter itu sukar menerima keputusan tersebut, malah meminta agar jurulatih pasukan berkenaan mempertimbangkan semula penggantungan Brundo termasuk mengajukan rayuan kepada pengelola liga walaupun dilihat mustahil.

347791146_572507044952190_625420395093880177_n

Poster perlawanan Sri Pahang FC menentang Penang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Sabtu. — Facebook/ Sri Pahang FC.

Bukan apa, jasa pemain berumur 30 tahun itu agak banyak apabila sudah menyumbang lima gol buat pasukannya sepanjang Liga Super musim ini.

Bagi pemerhati bola sepak, Syed Reduan Syed Daud, mengekalkan Brundo dalam skuad Sri Pahang FC pada ketika ini adalah keputusan paling tepat untuk pasukan tersebut.

"Sri Pahang FC kena bertindak berakal. Buang yang performance tak cantik. Kekalkan yang terbaik. Ambil yang tengah top," katanya.

Selain itu, peminat skuad berkenaan turut menyifatkan pembelian pemain pertahanan itu adalah perbelanjaan yang berbaloi untuk pasukan tersebut.

"(Brundo) Player import yang perlu dikekalkan, harap pihak pengurusan buka mata," kata Isnariza Ishak.

"Tolong sambung kontrak dia lagi dua musim, berbaloi ini," kata Mohd Izarul.

Apa pun yang berlaku, diharap ketiadaan Nor Azam Azih dan Brundo dalam perlawanan pada Sabtu tidak menjejaskan prestasi permainan Tok Gajah.

Jika tidak, boleh jadi rekod tanpa kalah yang dipertahankan Sri Pahang FC akan musnah angkara silap percaturan pihak pengurusan skuad tersebut. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram