SELEPAS hanya mengumpul dua penampilan Liga Super musim ini, karier Njoku Jacob bersama Sabah FC akhirnya ditamatkan dengan persetujuan bersama.
Pemain yang berjaya mencipta nama ketika bersama Kelantan United dalam Liga Perdana pada 2022 itu diharapkan mampu menambah ketajaman jentera serangan Sang Badak.
Bagaimanapun, isu taktikal dan kesesuaian dalam pasukan menyaksikannya menerima nasib seperti beberapa penyerang import pasukan itu sebelum ini.
Pemain seperti Jose Embalo dan Neto Pessoa sebelum ini mempunyai karier yang cukup baik sebelum menyertai Sabah FC, namun bakat mereka terus lesap sebaik sahaja menyertai kelab Borneo tersebut.
Jadi, memandangkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia akan dibuka tidak lama lagi, persoalan mulai timbul mengenai rekrut baharu untuk membantu jentera serangan pasukan.
Ketika ini, khabar angin mengatakan pasukan di tangga keempat Liga Super itu berminat untuk mendapatkan penyerang Kelantan FC, Ismahel Akinade.
Namun, dengan isu yang kerap melanda setiap kali mereka menggunakan khidmat penyerang import, kerisauan mulai timbul, lebih-lebih lagi dalam kalangan penyokong Sabah FC.
Oleh itu, mereka pasti lebih tertarik untuk mendapatkan seorang penyerang tempatan yang sekurang-kurangnya mempunyai kehebatan untuk menghidupkan peluang mereka untuk layak ke pentas Asia musim depan.
Rozaimi memulakan kariernya bersama Sabah FC.
Antara nama yang semestinya menjadi harapan untuk menyarung jersi pasukan Borneo itu ialah pemain kelahiran Bongawan, Sabah, Rozaimi Abdul Rahman.
Penyerang yang pernah mencuri nama ketika zaman mudanya dahulu sememangnya mempunyai tempat dalam hati peminat Sabah FC berikutan tempoh perkhidmatan dan statusnya sebagai anak jati negeri.
Cita-cita untuk menyaksikan pemain berusia 30 tahun itu kembali berkhidmat untuk pasukan itu timbul berdasarkan harapan yang dilontarkan dalam ruangan komen di hantaran Facebook peribadi Rozaimi baru-baru ini.
"Bagus kaulah ganti Njoku Jacob. Ada import pun asyik-asyik diganti. Buat panas je," kata Run Onalz.
"Bro, saya harap awak dapat kembali musim depan. Tidak kisahlah main dengan mana-mana pasukan. Amri yang umurnya sudah 40-an pun masih bermain," tulis STech Comp.
"Harap ketua jurulah, Datuk Ong Kim Swee dapat buka mata dan sekurang-kurangnya beri peluang untuk kau bermain bersama Sabah FC," kata Pemburu Bayang.
Rozaimi pernah mencipta nama sebagai antara penyerang terbaik negara. — Agensi
Berdasarkan info semasa, Rozaimi kini sudah tidak lagi beraksi secara profesional selepas meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Julai 2021.
Namun, dia masih lagi giat terlibat dalam sukan tersebut dengan dia ketika ini difahamkan mewakili pasukan liga amatur, Machan FC.
Rozaimi sebelum ini pernah diangkat sebagai antara permata terbaik negara dengan kepantasan serta ketajamannya di hadapan pintu gol lawan.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami gara-gara kemalangan jalan raya menyebabkan bisanya di atas padang terkesan sehingga memaksanya menamatkan karier dengan lebih awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram