SABAH FC mengambil keputusan untuk melepaskan khidmat bekas penyerang Kelantan United, Jacob Njoku menjelang perpindahan kedua Liga Super 2023.
Keputusan menamatkan kontrak secara bersama itu bukan saja membolehkan Njoku meneruskan kariernya dengan pasukan lain, malah, ia bertujuan membantu skuad Badak mengenal pasti penyerang baharu untuk memantapkan jentera serangan mereka.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sendiri meletakkan syarat agar mana-mana pemain pemain baharu perlu dinilai terlebih dahulu supaya mereka mudah mencari keserasian dalam pasukan.
Sananta memiliki kekuatan kaki kanan yang dirasakan sesuai menggantikan Njoku. — Facebook/ PSSI
Dengan skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) Indonesia menjuarai acara bola sepak di Sukan SEA Kemboja, ada penyokong berasakan kejurulatihan Sang Badak boleh merisik khidmat Ramadhan Sananta.
Sananta menjaringkan salah satu gol ketika Sang Garuda menang 5-2 dalam aksi panas yang menyaksikan Indonesia menamatkan kemarau 32 tahun untuk meraih 'ibu segala pingat'.
Bermain di posisi penyerang, Sananta yang juga pemain PSM Makassar dirasakan sesuai menggantikan Njoku kerana kedua-duanya memiliki kekuatan kaki kanan.
Simic dikhabarkan menarik minat kelab Liga Super dan Bali United. — Instagram @palataobola
Tambahan lagi, pemain berketinggian 1.82 meter yang baru berusia 20 tahun boleh bergandingan dengan rakan senegara, Saddil Ramdani yang sudah dua musim berkelana di Negeri Bawah Bayu.
Seorang lagi pemain yang disebut-sebut ialah Marko Simic, 35, yang pernah memeriahkan Liga Indonesia ketika berkhidmat dengan Persija Jakarta pada musim lalu.
Simic menandatangani kontrak dengan Persija Jakarta pada Disember 2017 selepas tidak mencapai persetujuan dengan Kelantan FA.
Simic yang kini berstatus ejen bebas sejak Januari 2023 pernah menyertai Negeri Sembilan FC dan Melaka United pada musim 2017.
Pemain dari Croatia itu dikatakan masih cergas pada usia 35 tahun dengan kelab terakhirnya ialah kelab Croatia, Radnicki 1923.
Selain kelab Liga Malaysia, Simic turut menarik minat kelab Indonesia, Bali United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram