'Baru dapat emas', fans mahu 'top scorer' PSM Makassar jadi gandingan Saddil Ramdani di Sabah


  • Podium
  • Rabu, 17 Mei 2023

Musim ini Sananta berjaya menjaringkan 11 gol dalam 24 penampilan bersama PSM Makassar. — Agensi

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia semakin hampir apabila ia diramalkan akan dibuka pada Julai bagi memberi peluang pasukan bertanding dapat menambah baik skuad masing-masing.

Pastinya pertukaran pemain import akan berlaku apabila mereka tidak boleh beraksi dengan baik sepanjang pusingan pertama liga.

Bercakap mengenai pertukaran import, Sabah FC antara pasukan terawal yang membuat keputusan untuk melepaskan khidmat bekas penyerang Kelantan United, Jacob Njoku yang ditandatangani pihak pengurusan awal musim lalu.

Keputusan menamatkan kontrak secara bersama dibuat bukan saja membolehkan Njoku meneruskan kariernya dengan pasukan lain.

Malah, ini membantu skuad Badak mengenal pasti pemain import baharu bagi memperbaiki kelemahan pasukan mereka.

Sanantra

Sananta berjaya membantu skuad muda Indonesia memenangi Sukan SEA 2023. Facebook/PSSI

Dengan kemasukkan Ko Kwang-min dari Korea Selatan kini penyokong Sabah mengidamkan pemain kelahiran Indonesia bagi bergandingan dengan Saddil Ramdani.

Umum mengetahui skuad muda Indonesia berjaya menamatkan penantian 32 tahun untuk mendapatkan emas di Sukan SEA 2023 apabila menewaskan Thailand dengan keputusan 5-2 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Kemboja pada Selasa.

Penyerang PSM Makassar, Ramadhan Sananta berjaya mengetuai barisan serangan Sang Garuda dengan menjadi antara penjaring terbanyak Sukan SEA.

Ini lagi menyebabkan penyokong Sabah mahu pemain berusia 20 tahun itu menyertai Sang Badak.

Jika Sananta berhijrah ke Sabah, Majoriti menyenaraikan pro dan kontra yang akan berlaku pada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu:

Juara

Sananta juga membantu PSM Makassar menjuarai BRI Liga 1 Indonesia. Facebook/PSM Makassar

Pro

1. Aset jangka panjang

Ramadhan Sananta musim ini baru berusia 20 tahun dan dia sudah menjadi penjaring terbanyak buat pasukannya, PSM Makassar.

Musim ini Sananta berjaya menjaringkan 11 gol dalam 24 penampilan bersama PSM Makassar dalam BRI Liga 1 Indonesia.

Baru menyertai PSM Makassar dari Persikabo 1973, Sananta tidak menunggu lama untuk membuktikan kenapa dia wajar menyarung jersi nombor sembilan pasukannya itu.

Dengan usia yang muda, Sananta boleh menjadi aset jangka panjang buat Sabah FC sekali gus boleh mendatangkan keuntungan buat mana-mana kelab yang ingin menandatanganinya.

2. Bantu mempertajamkan serangan Sabah FC

Sananta mungkin menjadi jawapan kepada ketumpulan barisan serangan Sabah FC yang diketuai penyerang kebangsaan, Darren Lok.

Dalam 10 penampilan, Darren Lok hanya berjaya jaringankan dua gol dalam kesemua perlawanan Liga Super.

Mungkin dengan kehadiran Sananta serta kelincahan Saddil Ramdani di posisi sayap berjaya membantu mempertajamkan serangan Sabah FC.

Evan Dimas

Evan Dimas antara pemain muda Indonesia yang gagal bersama Selangor FC. Facebook/FA Selangor

Kontra

1. Kurang pengalaman

Tidak dinafikan rekod cemerlang Sananta di dalam Liga Indonesia sangat menakjubkan sehingga tersenarai antara 10 penjaring terbanyak liga.

Namun sejarah Liga Malaysia, bukan kesemuanya dapat mengulangi pencapaian seperti Andik Vermansyah, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy di Selangor.

Kerana beberapa pemain yang cukup disegani di Indonesia juga pernah gagal bersama pasukan Liga M seperti Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn yang gagal bersama Selangor.

Manakala Syahrian Abimanyu turut gagal bersaing di JDT apabila hanya merekodkan 35 minit aksi sepanjang mewakili pasukan selatan tanah air itu.

2. Ambil masa mengenali Liga Malaysi

Sama seperti Saddil yang hadir ke Malaysia pada usia 20 tahun bersama Sri Pahang FC dan mengambil masa untuk mengenali budaya Liga Super.

Saddil ketika bersama Sri Pahang tidaklah begitu 'berbahaya' untuk seorang pemain import sehinggalah dia kembali bersama Sabah pada 2021.

Situasi seperti ini boleh terjadi juga pada Sananta jika dia baru pertama kali keluar bermain di Malaysia.

Datuk Ong Kim Swee mungkin merupakan seorang individu yang pakar dalam membentuk pemain muda, tetapi adakah penyokong Sabah sabar untuk menunggu menuai hasilnya?

Dengan pasukan seperti Selangor, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC sedang menghimpit Sabah, adakah penyokong Sang Badak boleh memberi masa buat Sananta atau kes José Embaló bakal berulang kembali? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram