KENYATAAN pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menegaskan hanya akan membayar penuh gaji pemain-pemainnya sekiranya mereka mampu meraih dua kemenangan dalam aksi seterusnya, ternyata mengundang pelbagai kontroversi dan kecaman penyokong sendiri.
Keputusan itu dibuat susulan terdapat rungutan daripada para pemain yang tidak dibayar gaji penuh dan juga bonus indeks prestasi utama (KPI) setakat ini.
Rata-rata penyokong tidak bersetuju dengan tindakan Norizam yang juga dikenali sebagai Zamsaham meletakkan KPI sedemikian kepada pemainnya.
Ini kerana sasaran untuk memenangi dua perlawanan terbabit agak sukar untuk direalisasikan jika melihat kepada prestasi semasa pasukan lawan yang bakal dihadapi.
Melihat kepada jadual liga, pasukan The Red Warriors (TRW) akan bertemu Kedah dalam saingan Liga Super pada 19 Mei nanti dan menerima kunjungan PDRM FC pada 23 Mei depan.
Bukan mudah untuk mengalahkan skuad Hijau Kuning yang diketahui antara pasukan yang kuat kerana berada dalam kelompok lima terbaik liga di kedudukan kelima dengan 19 mata.
Keadaan itu dijangka menyukarkan lagi peluang Kelantan untuk mencatatkan kemenangan seperti yang diminta pihak pengurusan.
Bukan itu sahaja, selepas Kedah, mereka akan menentang PDRM FC yang kini berada di kedudukan ke-10 Liga Super.
Walaupun jurang tidak jauh, namun pasukan The Cops dilihat mampu memberikan persaingan lebih baik berbanding Kelantan memandangkan mereka mempunyai beberapa pemain yang baik antara tonggak pertahanan, James Okwuosa.
Jadi, bagaimana Zamsaham boleh meletakkan KPI untuk dua perlawanan dengan pasukan yang diketahui agak sukar untuk ditewaskan?
Norizam terpalit kontroversi berhubung isu pemotongan gaji pemain.
Seolah-olah tidak berpuas hati dengan KPI yang ditentukan, seorang penyokong, Azri Genio meminta agar pemilik TRW itu pula tampil membuktikan kemampuannya dalam pengurusan.
“Cuma musykil dan pelik, dah lama dia (Norizam) ambil Kelantan, siapa pengarah sukan? Siapa urus pemilihan staf? Buktikan KPI di situ dulu, baru boleh tahu siapa pemain yang ada, tahap mana mereka berada.
“Kedah antara pasukan yang berbelanja tinggi untuk pemain dan staf, itu pun masih ke laut, tapi pasukan itu percaya kepada proses (trust the process), baru musim pertama.
“Bagaimana pula dengan Kelantan? Bukan musim pertama, bukan pasukan yang memiliki para pemain tahap Johor Darul Takzim (JDT), jadi spin the process, (peluang) 4/10 berada di kedudukan tengah carta,” katanya menerusi ruangan komen di Facebook.
Norizam yang juga usahawan dan pakar pelaburan daripada Senai, Johor membeli pasukan Kelantan dengan harga RM6.8 juta pada tahun 2020, menjadikan beliau pemilik sepenuhnya saham syarikat TRW Sdn Bhd.
Ujarnya, tumpuan pertama akan diberikan kepada prestasi dan infrastruktur kepada pemain dalam usaha mengembalikan keyakinan peminat bola sepak negeri itu.
Kelantan FC kini menduduki kelompok tercorot di tangga ke-13 dengan empat mata selepas mengharungi 10 perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram