Desak bayar gaji penuh, fans TRW anggap cara Norizam aniaya pemain Kelantan FC


  • Podium
  • Khamis, 11 Mei 2023

Sebahagian pemain Kelantan FC menjalani latihan bagi menghadapi saingan Liga Super. — Facebook/ Kelantan FC 

PEMILIK kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman hanya akan membayar gaji penuh para pemainnya sekiranya mereka mampu mencatatkan kemenangan seperti yang diminta.

Perkara tersebut disuarakan olehnya dalam satu hantaran di laman Facebook selepas terdapat rungutan daripada para pemain yang tidak dibayar gaji penuh dan juga bonus KPI setakat ini.

Norizam yang juga dikenali sebagai Zamsaham berkata, dia akan membayar tunggakan tersebut sekiranya para pemain The Red Warriors (TRW) mampu memberikan dua kemenangan bagi aksi berikutnya.

1967347

Norizam akan membayar tunggakan gaji jika pemain TRW mampu memberikan kemenangan bagi aksi berikutnya. — Bernama

“Pasal pemain kena potong gaji 50 peratus dan tak dapat KPI. 10 kali kalah, satu kemenangan dan satu seri. Nombor 13 dalam liga daripada 14. Nak KPI penuh? Nak gaji penuh? Boleh.

"Sila berikan saya kemenangan dalam dua perlawanan seterusnya dan 50 peratus yang ditahan akan dibayar penuh. Anda ada komitmen dan saya juga ada komitmen. Berikan saya prestasi,” jelasnya dalam hantaran tersebut pada Rabu.

Kenyataan Zamsaham itu kurang dipersetujui penyokong TRW apabila rata-rata berasakan cara itu kurang sesuai untuk mengendalikan sebuah pasukan bola sepak.

"Gila betul team bola buat stail bisnes sales," kata Fadhlil Hafiz.

"Kalau betul buat KPI bonus saja dahlah. Pemain kena ada gaji basic (asas). Kalau menang baru ada bonus. Janganlha potong gaji lepas tu tangguh pulak. Ni nak seksa orang namanya," kata Pendeta pula.

343600656_972466567104650_8964741192251082793_n

Kelantan akan bertemu Kedah dan juga PDRM bagi dua aksi berikutnya untuk mencari kemenangan bermakna di Liga Super. — Facebook/ Kelantan FC

Pada Rabu, Zamsaham turut dilaporkan berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk membuang para pemain yang gagal mempamerkan prestasi terbaik bersama Kelantan FC.

"Pekerja baik kita kekalkan, mana prestasi buruk kita buang. Dalam saham dipanggil cutloss atau tukar kepada yang lain yang lebih baik," katanya.

Seorang penyokong, Muhd Firdaus berasakan pasukan Kelantan FC akan berdepan nasib sama seperti Melaka United FC pada musim lalu yang turut dihimpit masalah kewangan sehingga tersingkir daripada Liga Malaysia.

"Dalam bola sepak kalau nak main macam saham, cutloss, cutloss, cutloss memang tak lama lagi team TRW ni yang akan loss (hilang) terus. Melaka 2.0?," persoalnya di Twitter.

Kelantan akan bertemu Kedah Darul Aman FC dan juga PDRM bagi dua aksi berikutnya untuk mencari kemenangan bermakna di Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram