KELANTAN FC terus terpalit dengan berita kurang enak tatkala Liga Super menjalani tempoh rehat sementara bagi memberi laluan kepada Sukan SEA Kemboja.
Ia selepas pemiliknya, Norizam Tukiman mengeluarkan kenyataan hanya akan membayar gaji penuh kepada pemain jika mereka mampu mencatatkan kemenangan dalam dua aksi berikutnya.
Kenyataan yang dikeluarkan untuk menjelaskan kontroversi pemotongan gaji sehingga 50 peratus itu seakan-akan memakan diri apabila terus-menerus menjadi bahan kritikan penyokong serta pemerhati bola sepak.
Terbaharu, ejen bekas ketua jurulatih Kelantan FC, Myeongho Jeong pula yang bersuara mengkritik kenyataan Norizam atau juga dikenali sebagai Zamsaham.
Sebahagian pemain Kelantan FC menjalani latihan bagi menghadapi saingan Liga Super. — Facebook/ Kelantan FC
Jeong yang sememangnya lantang melondehkan masalah yang membelenggu Kelantan FC berkata, dia menganggap apa yang terjadi kepada kelab itu amat memalukan industri bola sepak Malaysia.
"Boleh tak anda faham bahawa seorang pemain membuat rundingan gaji tahunan mereka dengan kelab sebelum menandatangani kontrak.
"Tapi semasa liga berlangsung, gaji tahunan itu dikurangkan sehingga 50 peratus, tanpa persetujuan pemain terbabit.
"Ini satu berita yang amat memalukan bagi bola sepak Malaysia," tulisnya di Instagram @leo_jeong10 pada Khamis.
Ejen Korea Selatan tersebut sebelum ini bertindak membuka beberapa cerita yang kurang enak berkaitan Kelantan FC kepada umum di laman Instagramnya.
Tangkap layar IG Story Myeongho Jeong. — Instagram @leo_jeong10
Ia termasuk mendakwa Choi Moon-sik selaku pengendali TRW ketika itu tidak diberi kuasa penuh untuk menentukan senarai pemain selain pemain tidak dibayar gaji selama dua bulan.
Selain itu, Jeong turut mendakwa TRW tidak beroperasi seperti kelab profesional, sebaliknya terlalu banyak kelemahan termasuk soal pemakanan yang terabai, padang latihan yang daif hingga memaksa Moon-sik membuat kerja penyelenggaraan rumput dan macam-macam lagi.
Pendedahan itu mendapat liputan meluas media Korea Selatan dan ia dilihat memburukkan imej liga bola sepak Malaysia.
Kelantan akan bertemu Kedah dan juga PDRM bagi dua aksi berikutnya untuk mencari kemenangan bermakna di Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram