PENYERANG sensasi negara, Safawi Rasid, yang berkelana di Thailand ketika ini dikhabarkan mendapat perhatian kelab Liga Indonesia, Persib Bandung Bermartabat (PBB).
Pemain sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT) tersebut dipinjamkan ke kelab Ratchaburi FC musim ini dan kini dikaitkan dengan kelab yang berpangkalan di Bandung, Jawa Barat itu.
Bagaimanapun, Pengarah PT Persib Bandung, Teddy Tjahjono, masih berteka-teki apabila ditanya mengenai perkhabaran berkenaan.
"Tunggu sahaja pengumumannya," katanya kepada awak media seperti dipetik portal Sportstar Indonesia ketika mengulas desas-desus perkhabaran mengenai pemain Harimau Malaya tersebut.
Safawi berkhidmat dengan Ratchaburi FC sebagai pemain pinjaman JDT. — Facebook / Ratchaburi FC
Biarpun begitu, Tjahjono juga meminta semua pihak khasnya penyokong-penyokong Pangeran Biru agar bersabar serta tidak terpengaruh dengan desas-desus tersebut.
"Ga tau (Tak tahu) jadi bidikan (sasaran) Persib, ditunggu saja.
"Kalian dengar rumor-rumor yang kurang jelas. Nanti kalau salah macam mana," tegasnya ketika ditanya sama pemain dari Terengganu tersebut akan menyarung jersi kelab Bandung itu musim depan.
Nama Persib Bandung menjadi kelab yang kerap dikaitkan dengan Safawi kerana menginginkan tonggak sayap itu menggantikan Febri Haryadi yang prestasinya agak mengecewakan.
Teddy Tjahjono. — Agensi
"Bagi saya, Safawi cocok (sesuai) bermain dengan pasukan utama seperti Persib Bandung dan Persija Jakarta saja.
"Kalau ke Persib dengan menggantikan Febri Haryadi yang biasa-biasa saja. Persib perlukan pemain sayap yang kreatif, mungkin sesuai bergandingan dengan Luis Milla," kata seorang penyokong, Hidayat.
Di Liga Thailand, Safawi yang pernah beraksi dengan kelab Portugal, tampil dalam 13 pertandingan dengan koleksi satu gol.
Dengan bantuannya di Ratchaburi FC, kelab itu menduduki posisi ketujuh dengan 41 mata daripada keseluruhan 16 peserta Liga Thailand 2022-2023. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram