PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) kekal mengungguli carta Liga Super 2023 musim ini dengan rekod tanpa kalah dalam semua sembilan perlawanan setakat ini.
Kekal sebagai antara pasukan paling digeruni pihak lawannya hingga kini, pasukan gergasi itu terus merempuh segala halangan yang ada dengan mudah.
Bercakap tentang pretasi bola sepak pasukan tersebut, ada nama yang meniti di bibir peminat setia Harimau Selatan itu, iaitu pemain pertahanan tengah, Afiq Fazail.
Berasal dari Pontian, Johor, jejaka hitam manis itu sentiasa menjadi sebutan peminat-peminatnya kerana aksinya yang seolah-olah menguasai padang dengan mudah.
Bukan itu sahaja, pemain berketinggian 1.71 meter itu mempunyai kehebatan tersendiri terutamanya kebijaksanaan dan ketenangannya mengatur permainan melalui hantarannya.
"Jeneral padang, otak geliga, rembatan padu. Perfect player AF4," puji salah seorang peminat setia JDT, Haikal Adnan.
Bagi pemerhati bola sepak, Mohd Khatib Babar pula, nama Afiq Fazail antara yang akan dicarinya dalam kesebelasan utama kerana tanpa pemain tersebut, taring Harimau Selatan seperti tumpul untuk membaham lawannya.
Aksi Afiq Fazail (kiri) ketika perlawanan JDT menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah, Johor dalam Liga Super 2023 pada 9 April lalu. —Facebook/ Johor Southern Tigers.
"Pemain yang saya cari namanya dalam kesebelasan utama. Keberadaannya dalam padang menjadikan bahagian tengah JDT hidup.
"Jika tidak, bahagian tengah JDT kurang menyengat. Perlu gunakan pemain sayap untuk menyerang," katanya.
Di sebalik segala pujian yang diberikan oleh peminat-peminat JDT, ada satu lagi impian yang tidak dipenuhi, iaitu melihat Afiq Fazail bermain dalam pasukan Harimau Malaya.
Mana tidaknya, dengan segala kemahiran yang dia tonjolkan, pemuja Harimau Selatan hairan mengapa Afiq Fazail masih tidak dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan itu.
"Sangat pelik, Afiq Fazail antara player terbaik di JDT tapi sangat susah nak dapat call up untuk Malaysia.
"Sangat sayang bakat tidak dimanfaatkan untuk pasukan Malaysia," kata Nazri A. Bakar.
Pendapat sama dilontarkan oleh Ala Manda yang mengatakan Afiq Fazail sangat sukar untuk dipanggil menyertai Harimau Malaya walaupun mempunyai bakat luar biasa.
"Pemain terbaik terpaling perform bahagian central midfielder dalam liga pernah disaksikan, tapi sayang susah nak tembus (sertai) pasukan kebangsaan," katanya.
Untuk rekod, Afiq Fazail membuat penampilan atas padang sebanyak lapan kali dalam Liga Super setakat ini dalam musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram